Menurut Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia yang baharu, Kenkichi Sogo, peminat trak pikap D-Max tidak perlu khuatir kerana jenama itu telah menyediakan pengalaman pembelian "online" yang lengkap.
Antara yang boleh digunakan ialah dewan pameran atas talian "augmented reality 360-degree" yang menggunakan teknologi telefon pintar untuk anda membaca risalah produk dengan gaya lebih canggih. Apa yang anda perlu lakukan ialah letakkan telefon pintar anda di atas gambar-gambar di dalam risalah dan video berkaitan akan terus dimainkan.

Selain dari itu, laman web Isuzu pickuptruck.isuzu.net.my juga menyediakan kalkulator bayaran bulanan dan kos penyelenggaraan yang lengkap sehingga 150,000 km. Slot pandu uji juga boleh dilakukan melalui laman web tersebut.
Sogo seterusnya meminta pelanggan untuk bersabar kerana SOP ketika Covid-19 yang ketat dan operasi syarikat juga terbatas.
Ketua Pegawai Operasi yang baharu ini mengambil alih tempat Masayuki Suzuki yang telah kembali ke Jepun untuk menyandang tugas baharu.
Sogo sebelum ini ialah Pengurus Besar Isuzu Malaysia selama empat tahun. Berusia 43 tahun dan lulusan dari Keio University, Sogo (gambar di bawah) memulakan kerjayanya dengan Mitsubishi Corporation pada tahun 2001 sebelum menyertai Isuzu tujuh tahun lalu.