Pada masa ini, pengusaha feri di Langkawi mengenakan kadar tambang sekitar 88 sen per batu nautika, jauh lebih rendah berbanding kadar yang dikenakan pengusaha-pengusaha feri di pulau-pulau utama seperti Pulau Pangkor dan Pulau Tioman yang mencecah RM2 per batu nautika.
"Jadual asal operasi feri sebanyak lima perjalanan sehari akan dikurangkan kepada tiga perjalanan sehari sebagai langkah kawalan kos dan penyesuaian kepada permintaan semasa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata pada 17 Mac lalu, satu perbincangan diadakan antara pengusaha feri dari Semenanjung serta Sabah dan Sarawak bersama Kementerian Pengangkutan bagi membincangkan cadangan pelaksanaan cas tambahan susulan kenaikan kos bahan api.
"Namun, keputusan berhubung permohonan berkenaan masih belum dimuktamadkan oleh pihak kerajaan.
"Harga diesel industri di Langkawi lebih tinggi berbanding harga diesel di pulau-pulau utama lain di Semenanjung. Jadi, kami berharap satu mekanisme penyelesaian yang lebih adil dan mampan dapat dipertimbangkan oleh kerajaan," katanya.
Baharin berkata ia juga bagi memastikan kelangsungan industri pengangkutan feri ke Langkawi serta tidak menjejaskan sektor pelancongan tempatan.
"Kami komited untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna, namun pada masa sama, kelangsungan operasi perlu dipastikan dalam keadaan kos dan ekonomi yang semakin mencabar kini," katanya.