Menurut Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Leftenan Komander (Bersara) Norhafiz Abdul Wahid, sebanyak 18 perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis dan 16 perjalanan dari Kuala Perlis ke Pulau Langkawi telah diawalkan atau dilewatkan bermula 17 hingga 28 Oktober.
“Penumpang yang membuat pembelian tiket secara dalam talian akan dimaklumkan melalui emel dan pesanan khidmat ringkas (SMS), manakala mereka yang membeli di kaunter boleh merujuk laman Facebook rasmi Cuti-Cuti Langkawi untuk maklumat terkini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelas beliau, antara perubahan ketara melibatkan pelayaran pada 20 Oktober, apabila feri dari Kuala Perlis ke Langkawi yang sepatutnya berlepas pada waktu pagi telah dilewatkan ke jam 8 pagi, manakala perjalanan dari Langkawi pula diawalkan ke jam 1.30 petang dan 3.30 petang.
Menurutnya, pindaan jadual ini merupakan langkah proaktif bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan serta memastikan operasi pelayaran berjalan lancar.
“Penumpang yang ingin menukar tarikh perjalanan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Cuti-Cuti Langkawi di talian 012-732 7174 atau hadir sendiri ke kaunter tiket,” ujarnya.