Jadual KTM komuter, ETS alami perubahan sementara bermula Sabtu

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Kerja-kerja menaik taraf sistem semboyan di laluan antara Stesen Kepong hingga Stesen Salak Selatan selama tiga hari akan bermula Sabtu ini hingga 2 Jun, demikian menurut Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan sepanjang tempoh pelaksanaan itu, perkhidmatan tren KTM Komuter Lembah Klang dan perkhidmatan tren elektrik (ETS) akan mengalami perubahan jadual waktu sementara.

Perkhidmatan KTM Komuter laluan Pulau Sebang-Batu Caves-Pulau Sebang dan Tanjung Malim-KL Sentral-Tanjung Malim serta perkhidmatan ETS dijangka mengalami kelewatan hingga 50 minit daripada jadual asal.

Selain itu, dua perkhidmatan ETS, iaitu EG9425 (Padang Besar-Segamat) dan EG9321 (Butterworth-Segamat) akan mengalami perubahan platform di Stesen KL Sentral dan Stesen Kuala Lumpur pada 31 Mei sahaja.

"Pegawai bertugas akan ditempatkan di stesen bagi mengiringi dan membantu para penumpang ke platform," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, KTMB menangguhkan pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf itu bagi memastikan kelancaran pergerakan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan tren di Lembah Klang sepanjang tempoh Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang berlangsung dari 23 Mei hingga 28 Mei.

Penangguhan itu dibuat selepas mengambil kira penutupan beberapa jalan utama di sekitar Lembah Klang serta saranan kerajaan supaya orang ramai menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Sehubungan dengan itu, KTMB menasihati semua penumpang merancang perjalanan lebih awal serta menyemak jadual perjalanan di MyRailtime melalui aplikasi KTMB Mobile.

"Penumpang juga dinasihatkan sentiasa peka terhadap pengumuman di stesen serta hebahan melalui saluran rasmi media sosial KTMB.

"Khidmat pesanan ringkas (SMS) juga akan dihantar kepada penumpang ETS yang terjejas sebagai notifikasi awal mengenai kelewatan yang mungkin berlaku," menurut kenyataan itu.

KTMB amat menghargai kesabaran serta sokongan berterusan semua pengguna sepanjang pelaksanaan kerja-kerja naik taraf itu, dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran media rasmi KTMB atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTMB di 03-9779 1200.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Global
KTM 690 ENDURO R 2026     KTM 690 ENDURO R meneruskan legasi dual sport dengan kemas kini…
Berita Global
Memang betul KTM mengumumkan angka jualan 100,000 unit motosikal. Tapi dalam siaran medianya…
Informasi
  "Untuk arah Pelabuhan Klang ke KL Sentral tren akan beroperasi pada kekerapan 30 minit pada…