Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dibuka Jumaat ini

oleh SALINA JALIL|
Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dibuka Jumaat ini selepas ditutup sepenuhnya akibat kejadian tanah runtuh di Seksyen 27 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini 2 Disember lalu.


Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, jalan tersebut akan mula dibuka kepada pengguna jalan raya bagi kedua-dua laluan selepas didapati selamat untuk digunakan semula.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

“Laluan di kedua-dua arah jalan tersebut akan dibuka semula pada sebelah pagi Jumaat ini,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya.

 

Mohd. Zolkafly  berkata, ketika ini pihak konsesi sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan jalan dan pembinaan longkang bagi pengaliran air yang baik untuk mengelakkan pergerakan tanah berlaku. 

 

“Setakat ini tidak laporan berkaitan pergerakan tanah di sekitar kawasan tersebut yang bakal dibuka kepada pengguna pada Jumaat,” katanya.

 

Beliau meminta pengguna agar sentiasa berhati-hati apabila memandu di jalan tersebut terutamanya pada musim hujan demi keselamatan keluarga dan pengguna jalan raya yang lain.

 

 

Dalam kejadian tanah runtuh di laluan itu pada 2 Disember lalu, dua maut akibat terperangkap dalam runtuhan tanah melibatkan seorang pemandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dan seorang pemandu lori sayur.

 

Sementara itu, Zolkafly berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perak telah melaksanakan kerja berkala pavemen dengan kaedah pembinaan semula atau reconstruction di Laluan Persekutuan FT239 Jalan Ampang – Jelapang di sini yang ditemukan kejadian mendapan tanah.

 

Katanya, pihak konsesi telah menemukan mendapan tanah bersaiz kira-kira 10 meter panjang dan 1.5 meter lebar di bahu jalan seksyen 4.73 pada 19 Oktober lalu. 

 

“Susulan penemuan tersebut, kerja-kerja pembinaan semula terpaksa ditangguhkan di lokasi berkenaan untuk pemeriksaan lanjut mendapan tanah bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.

 

“Laluan kecemasan dan lorong kiri di lokasi berkenaan juga terpaksa ditutup kepada trafik bagi keselamatan pengguna di laluan itu,” katanya

.

Katanya, hakisan tanah dipercayai berpunca daripada resapan air kesan kebocoran longkang di tepi jalan dan pihak JKR telah meletakkan papan lapis dan kanvas di atas permukaan mendapan tanah.

 

“Pihak JKR juga telah menutup satu lorong bagi mengelakkan kemalangan jiwa serta pemasangan papan tanda amaran,” katanya.

 

 

 

 

– UTUSAN ONLINE

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Zolkafly  …
Berita Domestik
  Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, maklumat kejadian itu…
Informasi
  MIROS memandang serius isu ini dan telah menghantar pasukan bagi menyiasat dan menganalisis…