"Jangan hanya tabur pasir pada jalan berlubang" - penduduk kampung Kinarasan

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Sinar Harian
Jalan rosak dan berlubang di Kilometer 8 Kampung Kinarasan di Ranau, meresahkan penduduk yang setiap hari menggunakan jalan tersebut untuk berulang alik ke Pekan Ranau.

Malah laluan tersebut merupakan satu-satunya jalan utama bagi menghubungkan antara daerah Ranau dan Tambunan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Penduduk Kampung Poropot, Charls Dodee, 26, berkata, kerosakan jalan itu berlarutan sejak tiga tahun lalu dan ia menjadi semakin teruk terutama ketika musim hujan.

"Dulu keadaan jalan ini bagus tetapi sejak tiga tahun lalu permukaan jalan mulai rosak dan berlubang sejauh kira-kira 25 meter menghala ke Tambunan.

"Aduan sudah dibuat tetapi hanya pasir yang ditabur di atas jalan. Malah keadaan jalan bertambah teruk ketika hujan apabila pasir yang ditabur itu menyebabkan laluan semakin becak," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Tambah Charls lagi, keadaan jalan tersebut amat membahayakan pengguna jalan raya terutama pada waktu malam.

"Apabila hujan, air akan bertakung, ada pengguna tidak biasa dengan laluan itu dan tidak tahu kedalaman lubang tersebut.

"Ini bukan saja merosakkan kenderaan pengguna jalan raya tetapi juga boleh menjadi punca kemalangan jika ada pengguna memandu laju di kawasan tersebut.

"Ditambah pula kawasan ini berhampiran dengan gaung dan dibimbangi kerosakan jalan tersebut punca ada mangsa terbabas sehingga masuk ke dalam gaung," katanya yang sering menggunakan laluan itu untuk berulang alik ke Pekan Ranau.

Sehubungan itu, Charls berharap tindakan segera dapat dilakukan untuk menyelenggara kawasan yang berlubang demi keselamatan dan keselesaan pengguna yang menggunakan laluan itu setiap hari.