Jason Momoa ubahsuai Rolls-Royce 1929 beliau ke elektrik

oleh HEZERI SAMSURI|
Pelakon Hollywood berdarah Polynesia, Jason Momoa telah memilih untuk menukarkan enjin kereta klasik Rolls-Royce Phantom II tahun 1929 beliau kepada trenkuasa elektrik.

Asalnya Rolls-Royce itu menggunakan sebuah enjin 7.7 liter enam silinder sebaris yang menghasilkan 120 hp.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

Tenaga disalurkan ke roda belakang melalui transmisi manual 4 kelajuan, menjadikan ia antara kenderaan paling bertenaga untuk zamannya.

Enjin dan transmisi itu dikeluarkan dan digantikan dengan bateri dan motor elektrik.

Jason berkata trenkuasa elektrik adalah yang paling sesuai untuk kereta klasik miliknya itu kerana ia senyap, menjadikan pemanduan jauh lebih selesa.

Electrogenic, sebuah syarikat yang berpengkalan di Kidlington, UK telah ditugaskan oleh pelakon Hollywood itu untuk melakukan transformasi tersebut.

Proses itu mengambil masa 18 bulan kerana ia dilakukan dengan berhati-hati.

"Saya berpuas hati kerana Electrogenic faham konsep dan sejarah Rolls-Royce klasik ini dan transformasi dilakukan tanpa menggugat ciri-ciri tersebut," ujar Jason dalam temubual beliau dengan media UK.

 

 

 

Bateri yang digunakan diletakkan dengan teliti agar bersepadu dengan struktur asal Rolls-Royce berusia 95 tahun itu.

Limosin itu juga dipasang dengan sistem audio modern dengan fungsi Bluetooth dan ini bukan Phantom II pertama yang ditukar oleh Electrogenic. Careta pernah melaporkan secara terperinci projek ini dan betapa canggih ia dilakukan. 

Baca laporan tersebut di sini

Electrogenic ialah sebuah syarikat automotif yang memang pakar dalam menukarkan kenderaan klasik kepada elektrik. Dari Land Rover klasik hingga ke Jaguar E-Type ke Porsche 911 dan juga Mini, mereka mampu melakukannya secara profesional.

Ia menggunakan pilihan sistem motor elektrik dengan kuasa voltan dari 110V kepada 450V dan pelbagai jenis bateri, mengikut kesesuaian projek tersebut.

Jarak gerak bergantung kepada saiz bateri - contohnya untuk Mini yang ditukar kepada elektrik, Electrogenic mampu memberikan jarak gerak hampir 130 km.

 

 

Pakej Porsche 911 klasik Electrogenic yang ditukar kepada elektrik pula boleh bergerak lebih dari 300 km!

Electrogenic juga mempunyai kepakaran untuk membuat sistem pengecaj mereka sendiri yang juga boleh dilengkapi dengan pengecaj pantas DC.

Malah mereka menjual sistem pengecaj mereka ke syarikat-syarikat lain yang turut melakukan projek transformasi yang sama.

Ia juga menggunakan perisiannya sendiri untuk sistem kawalan bateri, sistem pacuan dan pengecaj. Demi keselamatan, perisian itu mampu memutuskan bekalan elektrik dari bateri secara automatik ketika berlaku kemalangan.

 

 

 

 

 

Banyak negara di UK dan di Eropah mempunyai undang-undang lengkap untuk membenarkan projek transformasi kereta biasa kepada elektrik.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebenarnya dalam proses untuk menghasilkan perincian lengkap bagi membenarkan pengguna Malaysia menukarkan trenkuasa kereta-kereta lama kepada elektrik dengan menggunakan bengkel-bengkel yang bertauliah.

Untuk mereka yang mahu info lanjut berkaitan Electrogenic, layari laman web mereka - www.electrogenic.co.uk

Jika ini sudah "halal" di Malaysia, kereta lama apa yang anda mahu tukarkan kepada elektrik? Kongsikan pendapat anda!