JDT Hummer Tour tarikan baharu di JB, RM30 selama 10 minit

oleh Mohamad Hanif|
Satu lagi tarikan baharu bakal diketengahkan di negeri ini apabila Stadium Sultan Ibrahim di sini menawarkan JDT Hummer Tour mulai esok.

Ketua Unit Komersil Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Kevin Ramalingam berkata, tarikan baharu pelancongan sukan itu akan dibuka kepada orang ramai itu dengan kadar bayaran RM30.

Katanya, pengunjung berpeluang melihat sendiri dari luar stadium ikonik itu selama 10 minit dengan merasai sendiri menaiki kereta mewah iaitu jenis Hummer yang disediakan.

Setakat ini, katanya, hanya dua buah kenderaan mewah disediakan untuk pengunjung yang ingin menikmati tawaran berkenaan.

“Ia akan menjadi tumpuan setiap hari pelbagai benda dilakukan salah satunya Hummer Tour dan berikutnya akan ada stadium tour di mana orang ramai boleh melihat di sebalik tabir stadium.

“Salah satu restoran telah dibuka di sini dan akan diikuti oleh banyak restoran dan kafe lain dan dalam berapa bulan ini ia akan menjadi satu tempat di mana keluarga boleh datang dan juga untuk makan, bersiar dan mungkin aktiviti riadah.
 

Hummer


“Kita harap stadium ini menjadi tempat tumpuan keluarga Johor dan pelawat yang datang,” katanya selepas sesi lawatan mengelilingi Stadium Sultan Ibrahim menaiki Limosin Hummer JDT bersama wakil media di sini hari ini.

Sebagai permulaan, Restoran Woodfire Burger juga akan dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam

Manakala JDT Hummer Tour yang akan berlegar di sekitar stadium akan beroperasi setiap minggu dari Jumaat hingga Ahad dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.

Orang ramai yang ingin merasai JDT Hummer Tour boleh mendapatkan terus tiket di kaunter tiket pintu masuk utama.

Dalam pada itu beliau memberitahu, pihak pengurusan akan sentiasa membaiki kekurangan berdasarkan maklum balas yang diterima dari orang ramai.

Sumber berita dan gambar: MalaysiaGazette