Jentera Le Mans Hypercar Toyota GR010 Hybrid didedahkan secara rasmi

oleh Mohamad Hanif|
Ucapkan selamat datang kepada Toyota GR010 Hybrid, kereta lumba yang bakal berentap di dalam kelas baharu perlumbaan World Endurance Championship, iaitu kelas Le Mans Hypercar.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Dari segi dimensi, GR010 Hybrid ini memiliki ukuran yang lebih pajang 250 mm, lebih lebar 100 mm dan lebih tinggi 100 mm berbanding kereta lumba TS050 yang asal, dengan berat sekitar 1,040 kg yang jauh lebih berat berbanding TS050 (878 kg).

 


Berbanding dengan nadi 2.4 liter yang terdapat pada jentera LMP1 Toyota TS050, kereta lumba ini menggunakan nadi bentangan V6 dengan sesaran 3.5 liter dan bantuan turbo berkembar yang menghasilkan 671 hp pada roda belakang, dibantu dengan sistem hibrid yang terdiri daripada bateri lithium ion, dan motor elektrik Aisin AW/Denso pada gandar hadapan yang mampu menghasilkan 268 kuasa kuda.

Secara keseluruhannya, gandingan trenkuasa ini mampu menghamburkan angka output yang dihadkan kepada 670 kuasa kuda sahaja dengan menggunakan sistem elektronik termaju.

 


Untuk bertanding di dalam kelas Le Mans Hypercar, jentera yang digunakan perlulah mempunyai konfigurasi aerodinamik tunggal yang boleh berfungsi pada litar yang mempunyai tekanan downforce yang rendah dan tinggi, di mana hanya sayap belakang sahaja yang dibenarkan untuk dilaras.

Toyota memperuntukkan masa selama 19 bulan untuk membangunkan kereta lumba ini di ibu pejabat Cologne, Jerman dan dalam masa yang sama menggunakan kepakaran trenkuasa hibrid elektrik dari Higashi-Fuji, Jepun.

Menurut ketua projek TGRE, John Litjens berkata, "antara cabaran terbesar yang kami hadapi adalah untuk bergerak dengan hanya menggunakan unit penjana motor hadapan sahaja. Bekerja dengan sistem hibrid yang terdapat pada kereta ini lebih mencabar disebabkan perubahan standard keselamatan terkini.

 


Tambah beliau lagi, enjin pembakaran dalaman pada GR010 Hybrid juga ternyata lebih berkuasa berbanding TS050 Hybrid, jadi secara asasnya kedua-dua jentera memiliki karakter yang berbeza, dan bagaimana ia akan menghasilkan bunyi yang tersendiri.

Dari segi penampilan luaran, GR010 Hybrid menggunakan rim aloi magnesium Rays yang dibaluti tayar radial Michelin 31/71-18, sementara sistem pemberhentian pula mendapat angkup monobloc Akebono yang mencengkam cakera karbon berventilasi.

 


Sistem suspensi pula terdiri daripada double wishbone dengan pushrod untuk depan dan belakang, spring torsion bar, serta bar anti oleng depan dan belakang.

Barisan pelumba yang bakal mengendalikan GR010 Hybrid tidak berubah, di mana jentera #7 akan dipandu oleh Kamui Kobayashi, Mike Conway dan Jose Maria Lopez, sementara jentera #8 pula akan dipandu oleh Sebastian Buemi, Kasuki Nakajima dan Brendon Hartley.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Buat masa ini, sama seperti Toyota, Peugeot tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menghasilkan…
Berita Global
Jentera lumba Ferrari 499P itu bakal memberikan saingan sengit di dalam kelas Le Mans Hypercar, dan…
Sukan Bermotor
Peugeot kini memperkenalkan secara rasmi jentera yang bakal berentap di dalam kelas LMH, iaitu 9X8…