Jentera McLaren MP4-25A Lewis Hamilton dijual pada harga RM28 juta!

oleh Mohamad Hanif|
Dalam satu acara bidaan khas yang diadakan bersempena dengan GP British minggu lalu menyaksikan jentera F1 McLaren MP4-25A berjaya dijual pada harga £4,836,000 (RM27,732,272).
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Jentera McLaren yang pernah dipandu oleh Lewis Hamilton sehingga mencapai kemenangan di dalam GP Turki 2010 itu kini merupakan jentera F1 yang kedua termahal pernah dijual, selepas jentera F1 F2001 Michael Schumacher dijual dengan harga £5,449,607 (RM31,251,030) pada tahun 2017.

Jentera McLaren MP4-25A ini merupakan jentera pertama yang dipandu oleh Lewis Hamilton ditawarkan kepada umum dan acara bidaan tersebut dikendalikan oleh RM Sotheby's.

Menurut ketua unit jualan global RM Sotheby's, Shelby Myers menjelaskan, "RM Sotheby's amat bertuah dapat bekerjasama dengan Formula 1 untuk mengendalikan acara bersejarah ini.

"Adalah jarang untuk kita mendapat peluang menyaksikan kereta yang istimewa ini dijual kepada umum, dan dari permulaan kami tahu ia benar-benar melambangkan peluang yang sukar untuk diulang kembali.

"Kami juga turut lega jentera yang hebat ini sudah pun menemukan rumah baharu, dan kami berharap agar dapat menyaksikan ia beraksi di atas litar dalam masa terdekat.