Program subsidi ini bakal menampung kos sebanyak 700 yen (RM21.00) bagi setiap kilogram hidrogen, iaitu kira-kira tiga perempat daripada perbezaan harga antara hidrogen dan diesel. Bagi lori sel bahan api bersaiz besar, potongan ini dianggarkan sekitar 21,000 yen (RM630.00) bagi setiap isian penuh.
Hino USA memperkenalkan konsep kenderaan berat Hidrogen sejak 2020 dengan pengenalan Project Z
Sebelum ini, kerajaan Jepun menumpukan kepada subsidi pembelian dan pembinaan stesen hidrogen. Namun, untuk memperluaskan penggunaan kenderaan sel bahan api secara menyeluruh, kerajaan Jepun melihat keperluan menurunkan harga hidrogen agar lebih kompetitif berbanding bahan api fosil.
Isuzu dan Honda kerjasama menghasilkan GIGA Fuel Cell
Lebih 90 stesen hidrogen akan menerima bantuan kos untuk membolehkan mereka menawarkan harga hidrogen yang lebih rendah kepada pengendali kenderaan komersial.
Ketika ini, hidrogen masih jauh lebih mahal daripada diesel, menjadikan kos operasi lebih tinggi bagi syarikat logistik yang menggunakan kenderaan hidrogen. Sebuah lori sel bahan api mampu bergerak sejauh 600 kilometer dengan satu isian, dan hanya mengambil masa sekitar 15 minit untuk mengisi semula lebih pantas berbanding pengecasan EV biasa serta menawarkan jarak pemanduan yang lebih panjang.
Antara pengeluar utama yang sedang membangunkan teknologi ini termasuk Toyota Motor, Isuzu Motors dan Hino Motors. Setakat ini, hanya sekitar 160 unit lori sel bahan api digunakan di Jepun, termasuk oleh syarikat besar seperti Yamato Transport dan Japan Post. Kerajaan Jepun menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 17,000 unit menjelang tahun 2030 bagi menyokong agenda nyahkarbon negara itu.
Subsidi ini akan dibiayai menerusi peruntukan sebanyak 46 bilion yen yang telah diluluskan dalam belanjawan tambahan fiskal 2024 serta pelan belanjawan fiskal 2025 Jepun. Kerajaan pusat juga menyeru kerajaan tempatan di enam wilayah terbabit menetapkan sasaran kadar penggunaan dan memperkenalkan insentif tambahan.