Jika Ferrari ada LaFerrari, Mansory ada Le Mansory!

oleh Mohamad Hanif|
Pasti ada yang pelik, kenapa Ferrari LaFerrari dinamakan sedemikian, namun dalam dunia automotif, format penamaan tersebut sememangnya mempunyai maksud yang tersendiri, di mana ia membawa maksud Ferrari The Ferrari atau dalam bahasa mudah, ia sebuah Ferrari yang pasti!
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kalaulah pengeluar Malaysia mengikut format penamaan ini, ia mungkin akan menjadi Proton yang paling Proton, atau Perodua Sejati.

Ok, maafkan penulis.

 


Sebagai sebuah syarikat yang menjalankan modifikasi terhadap kenderaan eksotik, Mansory juga nampaknya mahu meniru langkah Ferrari dalam memperkenalkan model yang paling Mansory pernah mereka hasilkan, dan hasilnya, Mansory Le Mansory!

Seperti yang anda lihat dalam artikel ini, Le Mansory merupakan satu perubahan besar yang dibuat oleh Mansory terhadap Ford GT, terima kasih kepada penambahan kit badan lebar yang ternyata menjadikan model tersebut lebih agresif.

 


Kit badan yang diperbuat daripada gentian karbon itu menjadikan Ford GT Le Mansory lebih lebar 5 cm.

Bukan sekadar kit badan baharu, Mansory juga turut memberikan magik mereka terhadap sistem pengurusan enjin yang kini mampu menghamburkan 700 kuasa kuda dan 840 Nm, satu peningkatan daripada angka asal 647 hp/746 Nm.

Selain daripada itu, aspek aerodinamik turut diberikan penekanan dan menurut Mansory lagi, Ford GT Le Mansory ini mampu mencapai kelajuan tertinggi 354 km/j berbanding kelajuan standard kilang 348 km/j.

 


Supercar ini kemudian dilayangkan dengan warna biru yang digelar sebagai Bleurion Race, manakala sebahagian daripada muka depan didatangkan dengan efek karbon bertekstur.

Terdapat beberapa bahagian seperti fender extension, trim dan sayap belakang didatangkan dengan rekaan checkered flag.

Sistem ekzos asal dengan dua tip itu turut digantikan dengan tiga tip ekzos berbentuk susunan segi tiga.

 


Jika dibandingkan dengan susunan lampu asal Ford GT, Mansory telah menggantikan komponen tersebut dengan lampu LED serba baharu yang lebih berpetak.

Bagi memastikan kelajuan tertinggi dicapai, Le Mansory didatangkan dengan set rim forged bersaiz 9x21 di hadapan dan 12x21 di bahagian belakang dan dibaluti tayar Continental Sport Contact 6.

Oleh kerana Le Mansory merupakan produk Mansory sejati, pihak Mansory hanya berhajat untuk menghasilkan sebanyak tiga unit sahaja di dalam dunia ini, jadi siapa kaya, dia dapat dulu.

 


Mungkin ada baiknya anda menghubungi pihak pembuat kit badan fiberglas dan memulakan proses mengubahsuai Ford GT anda menjadi salah sebuah daripada Mansory Le Mansory ini.