Johor beli 15 unit Camry gantikan penggunaan Accord

oleh Mohamad Hanif|
Pembelian kereta Toyota Camry sebagai kenderaan rasmi barisan Exco kerajaan negeri Johor baru-baru ini dibuat setelah penilaian dibuat bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), kata Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Beliau mengesahkan kerajaan negeri telah membeli 15 buah Toyota Camry bagi menggantikan kereta rasmi dahulu iaitu jenis Honda Accord, yang didapati sudah melebihi enam tahun penggunaannya dan perbatuan antara 350,000 hingga 400,000 kilometer serta ada yang sering mengalami kerosakan.

Oleh itu penilaian dengan pihak JKR telah dilakukan bagi proses penggantiannya, katanya mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim semalam yang mempersoalkan rasional pembelian Toyota Camry bagi kegunaan rasmi barisan Exco kerajaan negeri.

Sahruddin berkata kereta Toyota Camry berkenaan mula digunakan pada Rabu lepas.

“Sebenarnya rancangan untuk penggantian kereta baharu ini telah dirancang semenjak tahun lepas lagi (2019) dengan menggunakan jenis yang sama (Honda Accord) namun tidak dapat dilaksanakan kerana beberapa faktor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Taklimat Perluasan Sektor Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Daerah Muar di sini, hari ini.

- Bernama