Johor mohon peruntukan RM48 juta diperlukan untuk baiki jalan rosak akibat banjir

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Kerajaan negeri akan memohon peruntukan khas RM48 juta bagi membaiki jalan persekutuan dan negeri yang rosak akibat banjir di Johor.


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Mohd Solihan Badri, berkata peruntukan itu termasuk membaiki cerun runtuh, jalan mendap dan menaik aras jalan yang selalu dinaiki air selepas hujan lebat.

 

Katanya, beliau yakin Kementerian Kerja Raya akan meneliti sewajarnya dan meluluskan permohonan dalam masa terdekat.

 

"Kita juga memperoleh peruntukan segera RM36.3 juta daripada kementerian bagi menambah baik dan menyelenggara jalan persekutuan dan jalan negeri.

 

"Sebahagian besarnya di daerah Johor Bahru yang menghubungkan laluan Pasir Gudang ke Johor Bahru. Sebanyak RM10.6 juta daripada peruntukan itu akan digunakan bagi penambahbaikan terutama kerja menampal lubang di Lebuhraya Pasir Gudang," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau kerja penyelenggaraan menampal lubang di Lebuhraya Pasir Gudang, di sini semalam.

 

Kerja penyelenggaraan membabitkan laluan dua hala sepanjang 11 kilometer (km) itu bermula 15 Februari depan.

 

Ia membabitkan RM8.3 juta bagi seksyen 16-23 (persimpangan Plentong-Seri Alam), RM1.3 juta bagi seksyen 10-12 (persimpangan Taman Perindustrian Tebrau-Taman Daya) dan RM1 juta bagi 0-2 Tol Perling-susur Skudai.

 

Mohd Solihan berkata, baki peruntukan akan digunakan untuk menyelenggara jalan rosak di daerah lain termasuk membaiki Jalan Penggeli Kota-Tinggi yang rosak akibat banjir dengan peruntukan RM400,000.

 

Katanya, kajian forensik yang dibuat di Lebuhraya Pasir Gudang ada kelemahan dari segi struktur.

 

"Kementerian ambil perhatian serius hasil kerja kontraktor sebelum ini. Saya nasihatkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya memantau dengan teliti kerja dilakukan kontraktor dan syarikat konsensi perlu membuat kerja dengan sempurna.

 

"Kita akan senarai hitam kontraktor yang tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan kementerian. Kita juga sudah ambil rekod hasil kerja kontraktor terdahulu yang membuat jalan ini sehingga menyebabkan banyak kerosakan dan kerugian," katanya.

 

Beliau berkata, antara punca lain jalan rosak ialah jalan terlalu sibuk, banyak kenderaan termasuk kenderaan berat yang melaluinya.

 

 

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Johor, Superintenden M. Kumarasan berkata, mereka…
Berita Domestik
Wanita yang mahu digelar sebagai Chong itu menjumpai satu hantaran kenderaan untuk dijual bernilai…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, suspek…