Jokowi gesa Tesla hasilkan kenderaan di Indonesia dan bukan hanya pembuatan bateri sahaja!

oleh SALINA JALIL|
Presiden Indonesia, Joko Widodo menggesa pembuat kenderaan elektrik (EV) Tesla untuk mengeluarkan kereta serta bateri jenama itu di negara berkenaan.


Melalui temubual dengan berita Bloomberg, presiden yang terkenal dengan nama Jokowi berkata, Indonesia mahukan ekosistem yang besar dalam penghasilan kereta elektrik, dan bukannya hanya menggunakan sumber aslinya bagi pembuatan bateri.
Perodua Aruz for Nov 2022 MREC

 

Beliau berkata, Indonesia juga sedang mempertimbangkan untuk mengenakan cukai ke atas eksport nikel tahun ini bagi meningkatkan pendapatan negara itu.

Sebelum ini, Indonesia menyasarkan cukai itu boleh dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini kerana nikel ialah antara bahan utama digunakan dalam penghasilan bateri litium Tesla.

 

Jokowi dan wakil pegawai kanan kerajaan mengadakan pertemuan dengan pengasas Tesla, Elon Musk, awal tahun ini bagi mempertimbangkan cadangan menjadikan Indonesia sebagai hab pembuatan kereta, selain bateri.

 

Ketika pertemuan mereka pada Mei lalu itu, Jokowi menjemput Musk melawat Indonesia pada November ini di mana negara itu akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak pemimpin bagi Kumpulan 20 ekonomi utama (G20).

 

Wakil Tesla bagaimanapun belum memberikan maklum balas sehingga kini.

 

Kementerian Pelaburan Indonesia juga tidak menjawab pertanyaan ketika ditanya berhubung perkembangan kerjasama dengan Tesla.

 

Menteri Kanan Indonesia, Luhut Pandjaitan, yang menyelia rundingan dengan Tesla, awal bulan ini memberitahu media, bahawa firma Amerika Syarikat (AS) itu berjaya mencapai perjanjian bernilai kira-kira AS$5 bilion (RM22 bilion) untuk membeli produk nikel daripada syarikat yang beroperasi di luar Morowali Indonesia di Pulau Sulawesi.

 

Menurut Luhut kementeriannya masih berunding dengan Tesla, tetapi Musk dilihat sibuk dengan urusan domestik membabitkan Twitter.

 

Syarikat media sosial Twitter Inc dan Musk bertindak menyaman antara satu sama lain atas percubaan ahli perniagaan itu untuk meninggalkan perjanjian bagi membeli Twitter dengan harga AS$44 bilion (RM196 bilion).

 

Sehingga kini, syarikat yang melabur atau mengumumkan rancangan pelaburan mereka dalam pembuatan EV di Indonesia termasuk firma Jepun Toyota Motor Corp dan Mitsubishi Motors Corp selain Hyundai Motor Group Korea Selatan.

 

SGMW Motor Indonesia iaitu sebahagian daripada usaha sama SAIC Motor Corp Ltd, General Motors Co dan Wuling Motors, mempunyai kilang pemasangan EV di negara yang kaya dengan sumber itu.

 

 

Reuters

Berita Berkenaan

Berita Global
  Perkhidmatan HSR tersebut adalah yang pertama di rantau Asia Tenggara sekali gus dapat…
Berita Global
Pada kesempatan tersebut, Jokowi mendedahkan bahawa beliau telah berbincang dan melawat kilang…
Berita Global
Jokowi dalam ciapan di akaun Twitter rasminya @jokowi hari ini berkata pembangunan projek kereta…