JPJ akan semak laporan audit lori nahas di Sedenak

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari kemalangan lima kenderaan pada Sabtu lalu
Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) akan dijalankan terhadap lori yang didakwa menjadi punca nahas mengorbankan dua nyawa di Sedenak, Kulai, Johor, pada Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim berkata, ia bagi mengetahui sama ada kenderaan berat itu mematuhi segala peraturan ditetapkan atau sebaliknya.

Banyak benda perlu dilihat dari segi proses JISA termasuk bila kali terakhir lori itu dibawa jalani pemeriksaan di Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer), ujar beliau.

"Perlu dilihat dari segi struktur binaan kenderaan itu sendiri, memenuhi atau tidak JISA dan jika ada mana-mana kekurangan teknikal, kita akan ambil tindakan," katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan dua rentung manakala empat terselamat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan tiga kereta di Kilometer 45.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan berdekatan Sedenak, Johor pada Sabtu lalu.

Dalam masa yang sama Zailani memberi amaran kepada pemandu kenderaan komersial khususnya lori supaya tidak mengejar trip dengan dengan membawa muatan berlebihan di jalan raya kerana boleh mengundang berlakunya nahas.

"Jangan bawa muatan barangan berlebihan kerana ia boleh mempengaruhi brek kenderaan.

"Kekalkan ikut berat dalam muatan yang ditetapkan kerana jika didapati membawa 35 peratus lebih muatan dan disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000 mengikut Seksyen 57 Akta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010," katanya.

Kosmo