“Penawaran siri eksklusif berkenaan adalah simbolik memperingati lapan dekad peranan dan sumbangan JPJ dalam pembangunan sistem pengangkutan negara.
“Pemilihan tanda indeks “P_P” mencerminkan peranan JPJ dalam aspek pengangkutan dan penguatkuasaan, selain sinonim dengan Pulau Pinang,” katanya pada sidang media selepas melancarkan NPI sempena ulang tahun ke-80 JPJ di The Top di sini hari ini.
Aedy berkata harga bidaan minimum ditetapkan mengikut kategori iaitu nombor utama bermula RM20,000, premium (RM5,000), menarik (RM2,500), popular (RM500) dan biasa (RM300).
Beliau berkata nombor pendaftaran yang berjaya dibida perlu didaftarkan pada kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan rasmi dikeluarkan.
Sementara itu, beliau berkata bersempena dengan sambutan Karnival Mega JPJ MADANI 2026 di Stadium Batu Kawan pada 24 hingga 26 April ini, JPJ turut menawarkan hampir 50,000 nombor pendaftaran untuk jualan terus dengan diskaun 50 peratus.
“Sebagai contoh, nombor menarik akan ditawarkan bermula harga RM250, melibatkan nombor baki yang belum didaftarkan sebelum ini dan hanya boleh dibeli di karnival berkenaan pada Ahad, 26 April,” katanya.