JPJ Kelantan - Permohonan permit memandu warga Pakistan naik mendadak

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mendakwa berlaku peningkatan lebih tiga kali ganda terhadap permohonan permit memandu antarabangsa membabitkan warga Pakistan pada bulan ini.

Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata, pihaknya akan membuat siasatan jika pertambahan luar biasa itu ada berkaitan dengan sindiket yang menyalahi undang-undang negara.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurutnya, hasil semakan pada laman web rasmi juga mendapati terdapat sehingga 20 permohonan sejak awal Oktober berbanding hanya enam sahaja sepanjang September.

"Sebelum ini kita hanya menerima dua hingga tiga permohonan permit memandu antarabangsa dalam kalangan warga Pakistan.

"Kita mengesyaki ada sesuatu yang berlaku namun siasatan masih dijalankan.

"Semakan awal juga mendapati terdapat nama pegawai dengan jawatan yang sama tetapi orangnya berbeza, seterusnya menimbulkan lagi keraguan di pihak kami.

"Jika terbukti perkara ini berlaku susulan sindiket, kita tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis kerana kita tidak mahu ia terus berleluasa," katanya dalam sidang media selepas majlis Penyerahan Lesen Pemandu Percubaan (PDL) kepada peserta MyLesen di Akademi Memandu Nasrom pada Rabu.

Di Kelantan, terdapat seramai 900 peserta MyLesen menerima lesen PDL secara percuma membabitkan beberapa kawasan seperti Pasir Mas, Machang, Jeli, Kota Bharu dan Gua Musang.

Dalam perkembangan lain, Mohd Misuari berkata, terdapat 196 kenderaan yang masih belum dituntut yang mana didaftarkan di atas nama rakyat tempatan tetapi disita kerana dipandu warga asing terutama dalam kalangan etnik Rohingya.

"Nama pemilik kenderaan yang tidak dituntut akan disenarai hitamkan kerana kita sudah menetapkan bahawa tindakan bukan sahaja diambil kepada pemandu malah pemilik kenderaan itu sendiri.

"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak memberi sewa atau pinjam kenderaan kepada warga asing terutama mereka yang tiada sebarang dokumen lengkap bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini.

"Jika disabitkan kesalahan, pemilik kenderaan boleh didenda sebanyak RM2,000, manakala warga asing yang memandu didenda RM4,000 dan jika berulang mereka berisiko untuk dipenjarakan," katanya.

 

Harian Metro