Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, pihaknya mengenalpasti terdapat aktiviti atau perkhidmatan itu dilakukan secara berulang oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Berdasarkan pemerhatian pihak JPJ, kebanyakan mereka yang melakukan perkhidmatan itu mampu memperoleh pendapatan antara RM10,000 dan RM30,000, malah apabila dikenakan tindakan, mereka hanya menyelesaikan denda dan kembali meneruskan aktiviti.
Justeru, pihak JPJ sudah mengadakan perbincangan dengan AGC bagi mana-mana kenderaan yang sudah disita selepas ini kenderaan berkenaan (akan) berdepan dengan tindakan dilucut hak.
“Kami memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu tanpa kuasa sah, menjalankan aktiviti memujuk atau mendesak bagi maksud menawarkan perkhidmatan secara tidak sah,” katanya pada Ops Khas Ulat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, malam Rabu.
Kebanyakan pengendali khidmat prebet sapu itu menyasarkan warga asing yang tidak mengetahui kadar tambang teksi yang sepatutnya.
“Hasil siasatan mendapati mereka mengenakan bayaran RM100 untuk perjalanan dari Lapangan Terbang ke hotel di Kota Warisan, Sepang dan RM300 bagi setiap perjalanan ke Kuala Lumpur.
Berdasarkan aduan yang diterima berkaitan kegiatan ‘Ulat’ KLIA, pihaknya sudah menahan 469 individu dengan denda dikenakan adalah lebih RM1.66 juta sepanjang tempoh 2022 hingga Selasa lalu (3 Disember).
Pada 2022 pihak JPJ telah menahan 130 individu dan mengeluarkan denda sebanyak RM488,200 dan seramai 161 individu pula ditahan pada tahun lalu dengan denda dikeluarkan RM621,400, manakala bagi tahun ini seramai 178 tangkapan dilakukan membabitkan denda RM554,900.
“Dalam tempoh 10 hari Ops Ulat KLIA diadakan bermula 25 November lalu sehingga Selasa lalu, kami mengesan dan mengambil tindakan tangkapan ke atas 15 ‘ulat’ dan merampas 15 kenderaan membabitkan sedan mewah, kenderaan pelbagai guna dan van", katanya.
Artikel sepenuhnya di BuletinTV3