JPJ Mula Kuatkuasa Speed Limitation Device (SLD) 1 Oktober Ini

oleh Qalif Latif|
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini mengumumkan bahawa penguatkuasaan pemasangan dan penggunaan Speed Limitation Device (SLD) akan bermula secara rasmi pada 1 Oktober 2025.
JAECOO Q4 MREC Banner Campaign November Starting: 3rd Nov

Menurut beliau, langkah ini adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memperkukuh keselamatan jalan raya serta memastikan tahap pematuhan undang-undang berada pada tahap optimum.

Pelaksanaan SLD ini akan melibatkan kenderaan motor yang dibina selepas 1 Januari 2015, merangkumi:

  • Bas persiaran dan bas ekspres dengan Berat Dengan Muatan (BDM) melebihi 5,000 kilogram serta mempunyai lebih 8 tempat duduk penumpang, dan

  • Kenderaan barangan dengan BDM melebihi 3,500 kilogram.

Anthony Loke menegaskan bahawa pemasangan SLD ini bukan sahaja akan membantu mengehadkan kelajuan maksimum kenderaan berat di jalan raya, malah turut menyumbang kepada pengurangan risiko kemalangan maut yang melibatkan bas dan lori.

Dengan penguatkuasaan SLD, kita mahu pastikan kenderaan komersial besar mematuhi had kelajuan yang ditetapkan serta mengurangkan risiko pemanduan berbahaya di lebuh raya,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya.

Berdasarkan rekod JPJ setakat 23 September 2025, sebanyak 97.32 peratus daripada jumlah kenderaan yang terlibat telah pun dipasang dengan SLD. Pecahan data menunjukkan:

  • Bas ekspres: 98.94% telah dipasang,

  • Bas persiaran: 99.47% telah dipasang,

  • Kenderaan barangan melebihi 3,500 kg: 97.68% telah dipasang.

SLD

Dengan hampir keseluruhan kenderaan sasaran sudah dilengkapi peranti ini, JPJ yakin pelaksanaan rasmi pada 1 Oktober nanti akan berjalan lancar.