Mulai 27 September hingga 26 Oktober 2025, semua pejabat JPJ negeri dan cawangan akan beroperasi pada hujung minggu (Sabtu dan Ahad) dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Langkah ini bertujuan memberi lebih ruang dan fleksibiliti kepada orang ramai, khususnya mereka yang sukar memperbaharui lesen pada hari bekerja.
Menurut rekod JPJ, terdapat 2.3 juta pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang berada dalam status tidak aktif kerana tamat tempoh melebihi tiga tahun. Sementara itu, 15.2 juta lagi merupakan pemegang lesen CDL aktif yang masih berkuat kuasa.
JPJ turut mengingatkan bahawa individu yang lesennya tamat tempoh lebih tiga tahun diwajibkan menduduki semula ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP02 dan KPP03) di mana-mana Institut Memandu untuk mengaktifkan semula lesen mereka. Bagi pemegang lesen yang tamat tempoh kurang daripada tiga tahun pula, pembaharuan boleh dilakukan segera melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap atau kiosk tanpa perlu hadir ke kaunter secara fizikal.

Dengan inisiatif ini, JPJ yakin ia mampu membantu rakyat memanfaatkan skim subsidi bersasar kerajaan dengan lebih menyeluruh, di samping meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya melalui penguatkuasaan lesen memandu yang sah.
Sumber: JPJ Malaysia