JPJ tahan lapan 'ulat pelancong' di KKIA

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Facebook JPJ Sabah
Lapan 'ulat' beroperasi menggunakan van putih sebagai kenderaan untuk membawa pelancong tanpa lesen sah ditahan dalam Ops Van Putih Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Coastal, di Kota Kinabalu pada Sabtu.

Operasi dengan kerjasama Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu dimulakan pada jam 10 pagi bagi mengesan ulat pelancong yang menganjurkan perniagaan kenderaan pelancongan di sekitar Kota Kinabalu.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, operasi itu dilaksanakan hasil daripada aduan orang awam.

Menurutnya, operasi itu menyasarkan koridor penguatkuasaan sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan hasil risikan selama seminggu telah mengesan aktiviti kepada pelancong dalam dan luar negara.

"Dalam operasi ini, kita memeriksa lapan kenderaan, tujuh van diperiksa didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 19(1) Akta 594 iaitu beroperasi tanpa lesen perniagaan pelancongan dan semua kenderaan ini akan ditahan serta disiasat sebelum dituduh di mahkamah.

"Kami juga dapat mengesan sebuah kenderaan yang tamat tempoh insurans dan lesen memandu, ia akan disita bagi menghentikan kesalahan ini daripada berterusan.

"Mereka ini disahkan memang ulat kerana didapati tidak dapat mengemukakan permit yang sah daripada MOTAC," katanya.

Tambah beliau lagi, ulat pelancong tersebut juga menggunakan pelbagai kaedah untuk mendapatkan pelanggan termasuk membuat iklan dalam talian bagi menawarkan perkhidmatan tanpa mematuhi syarat yang ditetapkan di bawah Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999.

"Sebenarnya, penumpang yang menggunakan perkhidmatan ini tidak dilindungi dengan insurans dan merupakan satu risiko yang besar kepada penumpang.

"Jadi, saya ingin menasihatkan pelancong supaya memeriksa terlebih dahulu kenderaan yang digunakan untuk pengangkutan ke destinasi masing-masing," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan Roslan Mohamad berkata, kehadiran ulat pelancong memberi kesan kepada pemain industri tersebut.

"Industri terpaksa bersaing dengan mereka yang tidak berlesen jadi ia tidak adil untuk pengusaha yang berlesen.

"Bagi pelancong yang ingin mengenali kenderaan pelancongan yang berlesen ialah terdapat satu pertiga pada badan kenderaan berwarna hijau, jika berwarna putih dan lain ia adalah kenderaan pelancongan yang tidak berlesen," katanya.

 

JPJ Sabah