Caj yang dikenakan adalah lebih tinggi berbanding perkhidmatan sah seperti teksi lapangan terbang dan e-hailing.
“Perbezaan caj penghantaran ulat teksi biasanya sekitar RM80 hingga RM150 ke ibu negara berbanding teksi biasa iaitu sekitar RM65 hingga RM80 sahaja.
“Ada juga kes dilaporkan di mana ulat teksi ini mengenakan caj sehingga RM300 bagi perjalanan antara KLIA ke Subang, Selangor,” katanya.
Menurut Azrin, kumpulan ulat teksi ini akan meletakkan kereta di kawasan jauh seperti parkir bagi mengelakkan diri mereka dikesan pihak berkuasa seterusnya mencari pelanggan di balai ketibaan.
Bagi memastikan kegiatan ulat teksi di KLIA dan KLIA2 tidak terus ‘membiak’, pihaknya akan terus menjalakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan menggunakan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Azrin turut berkata, pemantauan dan risikan diadakan setiap hari dan tindakan ulat teksi itu berada dalam radar JPJ memandangkan pengawasan dibuat 24 jam sehari.
“JPJ memandang serius kegiatan bersifat pentingkan diri dengan mengaut keuntungan secara haram dan akan bertindak tegas bagi membendung kegiatan itu di KLIA,” tegasnya.