JSPT Bukit Aman - 'Polis tak tahan individu ada saman banyak, waran tangkap'

oleh SALINA JALIL|
Polis tidak akan menahan dan mengambil tindakan terhadap individu yang memiliki banyak saman dan ada waran tangkap di sepanjang tempoh 10 hari Op Selamat ke-18 (Op Selamat 18) ini.


Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim, berkata tindakan itu tidak diambil dalam tempoh ini kerana tugas pihaknya sempena Op Selamat bagi melancarkan perjalanan pengguna balik ke kampung halaman.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

 

"Kita mahu semua pengguna dapat pulang ke kampung dengan selamat untuk meraikan hari raya memandangkan sudah dua tahun tidak boleh balik susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).

 

"Selain itu, pihak JSPT menggunakan alat bantuan teknologi Intelligent Compound Online Payment System (iCOPS) dan alat pengesan had laju In-Car Radar untuk mengesan kenderaan laju, tidak mengikut peraturan jalan raya termasuk individu yang ada rekod dalam pangkalan data kita dan mempunyai waran tangkap.

 

"Namun, pihak kita tidak akan menahan mereka yang mempunyai saman yang banyak dan waran tangkap. Bukan fokus kita nak tangkap mereka dan alat itu (iCOPS dan In-Car Radar) lebih bantu kami untuk menjalankan tugas," katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan tugas Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat kepada Datuk Muhamad Zaki Harun yang memangku Ketua Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan semalam.

 

Media sebelum ini melaporkan, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain dipetik berkata, sepanjang tempoh 10 hari Op Selamat, individu yang memiliki waran tangkap akan dibawa ke balai polis berhampiran, manakala yang memiliki saman tertunggak pula akan diminta menjelaskan saman mereka.

 

Katanya, polis akan mengoptimumkan penggunaan alat pengesanan had laju 'In-Car Radar' di sepanjang lebuh raya dan jalan raya utama sepanjang Op Selamat itu.

 

Mengulas lanjut, Mat Kasim berkata, polis akan menyantuni masyarakat bagi melancarkan perjalanan dengan bantuan Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) untuk membantu permudahkan pengguna di jalan raya.

 

"Kita tidak akan menggunakan kuasa tertentu kerana matlamat Op Selamat untuk membantu melancarkan perjalanan di jalan raya di seluruh negara.

 

"Untuk tahan pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan bukan pada masa Op Selamat atau hari raya," katanya.

 

Beliau berkata, sebanyak lima unit iCOPS digunakan di seluruh negara termasuk di utara, selatan dan pantai timur.

 

Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan kepada individu terbabit dengan kes jenayah.

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Ekoran kejadian itu, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 28 tahun disyaki pemandu…
Informasi
Jumaat lalu, air dari Sungai Badak melimpah dan membanjiri jalan utama ke UUM Sintok dan lencongan…
Berita Domestik
Suspek berusia 42 tahun itu melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis sebelum ditahan…