
Jumlah itu mewakili 45 peratus daripada jualan agregat.
Jualan di luar China juga mencatatkan prestasi cemerlang dengan peningkatan 21 peratus berbanding 2023 kepada 1,221,852 unit.
Untuk makluman, Geely merujuk kepada nama yang mewakili entiti berlainan. Geely Holding memiliki syarikat automotif seperti Geely Auto, Volvo Cars, Lotus dan pelbagai lagi.
Geely Auto berada di bawah Geely Holding dan menjual kenderaan jenama Geely selain mempunyai pemilikan di dalam Lynk & Co dan Zeekr.
Prestasi jenama automotif di bawah dan berkaitan Geely Holding:
Geely Auto

Geely Auto memegang saham majoriti di dalam Lynk & Co dan menguasai 62 peratus pegangan Zeekr.
Jualan 2024 mencecah 2.17 juta unit atau kira-kira 32 peratus lebih tinggi berbanding 2023.
Pertumbuhan didorong oleh pengembangan syarikat di peringkat dunia dan jualan kenderaan elektrifikasi.

Di dalam segmen kenderaan tenaga baharu dan elektrifikasi (BEV, PHEV, HEV), jualan meningkat hampir sekali ganda kepada 888,235 unit.
Jualan itu menyaksikan lonjakan luar biasa sebanyak 92 peratus berbanding 2023. Siri Geely Galaxy mencatat jualan sebanyak 494,440 unit atau lonjakan 80 peratus.
Eksport ke luar negara meningkat 53 peratus kepada 403,923 unit.
Lynk & Co

Jenama premium di bawah Geely Auto mencatat jualan sebanyak 285,441 unit diperingkat dunia atau lonjakan 30 peratus berbanding 2023.
Model hibrid terbaru iaitu Co 07 dan 08 EM-P membantu syarikat mencapai rekod baharu dengan jualan melebihi 10,000 unit setiap bulan selama tujuh bulan berturut-turut.
EM-P merupakan model hibrid plug-in jarak jauh dan dikatakan bakal menjadi fenomena dan trend terkini di dalam industri automotif.
Zeekr

Zeekr sebagai jenama teknologi mobiliti elektrik mewah memperolehi jualan sebanyak 222,123 unit atau lonjakan 87 peratus daripada 2023.
Di pasaran China, Zeekr berjaya memperoleh kedudukan teratas jenama kenderaan elektrik mewah China.
Zeekr turut mengumumkan rancangan untuk menyatukan Lynk & Co ke dalam kumpulan kenderaan tenaga baharu mewah dan mewujudkan sinergi di antara dua syarikat.
Proton Cars

Geely Auto Group memegang 49.9 peratus pegangan di dalam PROTON dan baki dimiliki DRB-Hicom.
Jualan keseluruhan pada 2024 berjumlah 152,352 unit dan menduduki tangga kedua dari segi penguasan pasaran. Proton kini memasuki arena EV dengan penawaran e.MAS 7.
Lotus Cars

Jualan global Lotus melepasi angka 2,000 unit pada Disember 2024 dan pertama kali dalam sejarah.
Jualan 2024 juga dijangka melebihi 10,000 unit dan satu angka tinggi buat syarikat.
Volvo Cars

Pembelian Volvo mengubah sejarah dan mengalih pandangan ramai terhadap Geely. Jualan 2024 mencecah 763,389 unit atau peningkatan lapan peratus berbanding 2023.
Jualan model elektrifikasi meningkat ketara dengan EV mencatat jualan sebanyak 175,194 unit unit atau lonjakan 54 peratus.
Model hibrid plug-in pula memperolehi jualan sebanyak 177,593 unit atau peningkatan 16 peratus.
Model elektrifikasi menguasai 46 peratus daripada jualan keseluruhan.
Polestar

Jenama elektrik berprestasi dari Sweden ini terus mengorak langkah bagi menambah baik keberuntungan pada 2024.
Penghantaran model keempat iaitu Polestar 4 bermula dengan sepenuhnya sepanjang tahun 2024.
Pengeluaran model di Amerika Syarikat iaitu Polestar 3 turut bermula pada 2024.
Polestar merancang mengeluarkan kenderaan di Korea Selatan pada 2025 untuk pasaran global.
Farizon

Jenama kenderaan perdagangan di bawah Kumpulan Kenderaan Komersial Tenaga Baharu Geely mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju di dalam segmen lori ringan.
Kejayaan di pasaran China itu berjaya dikekalkan selamat tiga tahun berturut-turut dan mencatat rekod jualan kenderaan tenaga baharu berjumlah lebih 300,000 unit.
Di luar negara Farizon turut mencatatkan perkembangan positif dengan memasuki pasaran Eropah, Timur Tengah, Asia Pasifik, Asia Tengah dan Amerika Selatan.
Syarikat menawarkan model canggih terbaru seperti SuperVAN, Homtruck, lori kerja berat elektrik dan siri bas elektrik.
2025

Untuk 2025, Geely Holding mahu menambah lagi tumpuan pada perniagaan teras di dalam sektor automotif.
Kumpulan juga mahu meningkatkan sinergi dan penggunaan sumber dengan lebih cekap dan seterusnya menurunkan kos dan meningkatkan margin produk.
Kumpulan tidak hanya menumpukan sinergi secara dalaman tetapi juga di luar kumpulan melalui kerjasama dengan rakan global.
Geely Automobile Group menyasarkan jualan sebanyak 2.71 juta unit atau peningkatan sekitar 25 peratus berbanding 2024.
Zeekr menyasarkan untuk meningkatkan jualan kenderaan elektrik premium kepada lebih 320,000 unit manakala Lynk & Co sebanyak 390,000 unit pada 2025.
Penulis: Muhammad Md Tajudin