Jualan kenderaan Proton 11,873 unit, angka tertinggi jualan bulan Februari sejak 10 tahun dahulu

oleh SALINA JALIL|
Pencapaian PROTON pada bulan Februari telah berjaya sampai ke tahap yang tidak dialami selama beberapa tahun.


Jualan 11,873 unit (pasaran tempatan dan eksport) adalah jualan paling tinggi bagi bulan Februari dalam lebih sepuluh tahun. Proton mencapai pegangan pasaran sebanyak 27.1 peratus tahap tertinggi semenjak September 2013.


Secara keseluruhan, Proton mengakhiri Februari di tangga kedua selepas menambah jualan hampir dua kali ganda berbanding 5,964 unit yang dijual pada bulan Januari.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Berbanding dengan bulan yang sama pada tahun 2020 pula, jumlah jualan meningkat sebanyak 19.9 peratus manakala jumlah kumulatif dua bulan pertama 2021 masih kurang 643 unit atau 3.5 peratus berbanding dengan tahun lepas.


Penghantaran Proton X50 meningkat 


Proton X50 yang dilancarkan pada 27 Oktober 2020, terus mendapat sambutan dengan lebih 30,000 tempahan diterima sebelum akhir tahun lalu tetapi masa menunggu penghantaran telah meningkat akibat kelewatan yang dialami di barisan pengeluaran dan fokus syarikat kepada kualiti.


Selepas 3,345 unit dihantar pada bulan Februari, sebanyak 8,141 unit telah diserahkan kepada pembeli dan kadar bekalan semakin mendekati jumlah permintaan.


Pencapaian ini adalah jumlah terbesar bagi SUV dalam sejarah Malaysia dan sekaligus membolehkan Proton X50 diberi gelaran SUV paling laris bagi segmennya dan secara keseluruhan. 


Untuk Proton X70 pula, sebanyak 1,475 unit telah dijual (jumlah tertinggi bagi SUV segmen-C) pula ditambah ke jumlah kumulatif, syarikat berjaya menjual sebanyak 4,820 unit SUV pada bulan Februari, keputusan yang terbaik pernah tercapai dalam sejarah pasaran automotif negara.
 


Model yang paling laris untuk Proton masih kekal kepada Proton Saga iaitu sebanyak 4,217 unit telah dijual.

 

 

Ia juga merupakan model pertama Proton yang dijual di Kenya dengan rakan perniagaan Proton, Simba Corporation dan telah dilancarkan pada 25 Februari.

 


Gelaran sedan segmen-B terlaris berjaya disandang oleh Proton Persona setelah 1,818 unit dijual, Proton Exora pula kekal di tangga teratas bagi MPV segmen-C manakala Proton Iriz di tempat ketiga bagi hatchback segmen-B.

 


“Bulan Februari adalah bulan yang penuh cabaran bagi industri automotif Malaysia tetapi ia memberi keputusan cemerlang bagi Proton. 

 


Atas semua usaha kerajaan untuk memastikan aktiviti ekonomi boleh berterusan semasa PKP, syarikat berjaya menghasilkan lebih kenderaan dan ini mengurangkan tunggakan pesanan kami. 

 


Ini amat penting kerana kami perlu menghantar kenderaan ke pembeli secara konsisten untuk mengelakkan keadaan huruhara apabila insentif PENJANA berakhir pada 30 Jun tahun ini.

 


“Segmen automotif akan terus menarik perhatian pembeli pada 2021 dengan banyak pelancaran baru dari pelbagai jenama, sekaligus mendorong saingan antara Proton dan syarikat lain, tetapi kami akan terus bersikap berhati-hati dalam semua usaha kami untuk mengelakkan kadar infeksi meningkat semula,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

 

 

Proton juga telah melancarkan empat model edisi istimewa pada bulan Februari. 

Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar

 

Proton Persona dan Exora Black Edition serta Proton Saga dan Iriz R3 Limited edition akan dibina secara terhad dan telah dilancarkan atas talian pada 18 Februari. 


Hanya 3,500 unit yang ditawarkan ke pasaran dan pada 26 Februari, sebanyak 1,169 tempahan sudah diterima.

 

Tumpuan kepada servis lepas jualan

 

“Proton akui beberapa aktiviti perniagaan kami tidak mampu sampai ke tahap kejayaan yang dialami beberapa tahun lepas. 


Walaupun kualiti pengeluaran, imej jenama dan teknologi yang ditawarkan dalam kenderaan kami telah meningkat, servis lepas jualan tidak berjaya bergerak kehadapan pada kadar yang sama. Memburukkan keadaan lagi adalah wabak Covid-19 dan keputusan untuk melabur dalam sistem pesanan dan hantaran yang baru pada 2020.


“Akibatnya, kami telah mengalami masaalah integrasi dan ini menyebabkan kelewatan bagi pelanggan yang memerlukan khidmat pembaikkan kemalangan serta khidmat servis dijadualkan. 


Pihak Proton sedang bekerja tanpa henti untuk mengatasi situasi ini secepat mungkin tetapi buat masa kini, saya mendesak semua pelanggan Proton yang sedang menghadapi kelewatan untuk membuat panggilan ke talian perkhidmatan pelanggan kami di 1-800-88-8398,” tambah Roslan Abdullah. 

 

angka jualan februari

Berita Berkenaan

Hezeri Samsuri
Ini sudah mula dirasakan oleh Eropah di mana Kesatuan Eropah (EU) mula mempersoalkan harga-harga…
Berita Domestik
Dalam usaha pengembangan keupayaan pemasangan cermin gelap sendiri, kemudahan baharu itu mampu…
Berita Domestik
Pengadaptasian tenaga hijau tersebut yang telah dilancarkan dua tahun lalu telah membolehkan PROTON…