Dalam keadaan industri automotif dijangka merosot sekitar 0.9%, PROTON kekal stabil dengan pegangan pasaran sekitar 18.4% untuk bulan November dan 19.7% year-to-date. Ini mengukuhkan lagi kedudukan PROTON sebagai jenama paling popular nombor dua di Malaysia.
Prestasi Model ICE Kekal Mantap, e.MAS 7 Terus Jadi EV Pilihan

Proton Saga kekal sebagai model paling laris dengan 6,931 unit pada bulan tersebut, menjadikan jumlah tahunannya 66,038 unit. Walaupun peralihan sedang berlaku ke Saga serba baharu, penghantaran model sedia ada tetap konsisten sementara kilang Tanjong Malim meningkatkan kapasiti. Tempahan pula sudah melepasi 30,000 unit dan terus meningkat menuju 2026.
Proton X50 pula terus dominan dalam segmen SUV B dengan 2,127 unit (YTD 25,974), naik 23.5% berbanding tahun lepas. Sedan Proton S70 juga kekal sebagai model segmen C paling laris dengan 1,487 unit bulan tersebut (YTD 15,828).

Model lain turut menyumbang:
• Persona – 1,050 unit (YTD 14,214)
• X70 – 471 unit (YTD 7,184)
• X90 – 234 unit (YTD 2,357)
• Iriz – 241 unit (YTD 3,208)
Di bahagian elektrifikasi, pelancaran e.MAS 5 sebagai EV mampu milik pertama negara membantu melonjakkan jualan EV PROTON sehingga 14.8% lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya. Proton e.MAS 7 terus menjadi EV paling laris di Malaysia dengan 830 unit pada November (YTD 7,784).
Menurut Zhang Qiang, Naib Presiden Jualan & Pemasaran PROTON, momentum pelancaran e.MAS 5, Saga baharu serta pratonton awal model PHEV akan datang dijangka memberi rangsangan besar kepada jualan menjelang 2026.
Eksport Hampir Capai 6,000 Unit – Rekod Tertinggi Sejak 2022
Fokus PROTON terhadap pasaran luar negara melalui Penubuhan Proton International Corporation Sdn Bhd (PICSB) mula menunjukkan hasil ketara. November menyaksikan 460 unit dieksport, menjadikan jumlah keseluruhan 5,014 unit setakat tahun ini peningkatan 37.3% berbanding 2024.
Ini juga merupakan jumlah eksport tertinggi sejak 2022 dan meletakkan PROTON sangat hampir mencapai sasaran 6,000 unit pada tahun 2025.
Zhang Qiang menegaskan bahawa eksport akan menjadi komponen utama dalam visi jangka panjang PROTON, dengan lebih banyak negara bakal diterokai menggunakan fasiliti pengeluaran canggih di Tanjong Malim bagi pasaran pemanduan kanan dan kiri.