Jurutol Plaza Tol Ayer Panas positif COVID-19, proses sanitasi bermula 12 tengah malam ini

oleh SALINA JALIL|
Pemegang konsesi bagi Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE), Konsortium Lebuhraya Utara – Timur (KL) Sdn Bhd (KESTURI), mengesahkan bahawa seorang kakitangannya di Plaza Tol Ayer Panas disahkan positif jangkitan COVID-19, semalam.

 

DUKE dalam satu kenyataan berkata, kakitangan yang juga juru tol di plaza itu kini sedang menerima rawatan di hospital.

 

"Pihak Lebuhraya DUKE juga sudah menjalankan proses pengesanan kontak rapat kepada kakitangan berkenaan dan semua kakitangan yang lain diarahkan untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.

 

"Lorong pelbagai kelas dan bangunan plaza tol ini akan ditutup sementara waktu bagi proses kerja sanitasi dan pembersihan pada hari ini mulai jam 12 tengah malam ini.

 

"Sehubungan dengan itu, pengguna lebuh raya dari arah pusat bandar Kuala Lumpur, Sentul, Gombak yang ingin menuju ke arah Ampang, Setiawangsa dan Wangsa Maju dinasihatkan untuk memastikan bahawa baki kad Touch N Go dan E-Wallet adalah mencukupi kerana lorong pelbagai kelas itu akan ditutup secara berperingkat untuk proses sanitasi," menurut kenyataan itu.

 

Pihak Lebuhraya DUKE juga akan memaklumkan sebarang maklumat dari masa ke masa.

 

 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Bekalan perubatan itu merangkumi 5,000 pelindung muka, kerusi roda, kerusi tandas duduk, papan…