Dengan sistem pengangkutan awam yang masih lagi ditakuk yang lama, rakyat marhaen tiada pilihan lain, selain terpaksa menghadap kesesakan jalan raya setiap hari, setiap minggu, setiap bulan dan sepanjang tahun.
Kerajaan (dan pihak swasta) juga turut meningkatkan inisiatif dengan melebarkan jalan raya supaya dapat menampung lebih banyak kenderaan di atas jalan raya.
Untuk jangka waktu pendek, ia mungkin dapat menyelesaikan kesesakan, namun keadaan kembali seperti sedia kala, malah lebih teruk jika dibandingkan dengan keadaan sebelum jalan raya dinaiktaraf.
Adakah dengan melebarkan jalan raya, ia merupakan cara yang berkesan untuk mengekang lambakan kenderaan yang semakin meningkat saban tahun?.
Satu contoh yang digunakan adalah Katy Freeway yang memiliki 26 buah laluan menjadikan salah satu lebuhraya terlebar di Amerika Utara, namun selepas projek bernilai $2.8 billion itu siap, ia tidak menyelesaikan masalah kesesakan trafik yang melanda bandar tersebut.
Malah, menurut laporan daripada agensi pemantauan trafik di Houston, jumlah masa perjalanan didapati meningkat 30 peratus di waktu pagi dan 55 peratus di waktu petang.
Apakah punca disebalik masalah ini?
Menurut pakar ekonomi, keadaan ini dirujuk sebagai 'permintaan yang menggalakkan' atau terma "induced demand" dalam bahasa Inggeris.
Konsep ini merujuk kepada idea di mana kapasiti jalan raya yang telah ditambah baik menggalakkan lagi orang untuk memandu, dan apabila kenderaan semakin bertambah, ia ternyata gagal untuk menyelesaikan permasalahan utama - kesesakan jalan raya.
Dalam satu ujian simulasi yang dijalankan oleh pihak ABC TV, solusi yang ditawarkan oleh pembesaran jalan raya hanya mampu bertahan selama beberapa belas bulan sebelum keadaan menjadi semakin teruk.
Anda boleh menonton video di bawah untuk melihat 'keberkesanan' jalan yang telah diperbesarkan kepada aliran trafik sesebuah bandar.
Who's down for a time-saving commute of two whole minutes? ? #UtopiaABC
— ABC TV + iview (@ABCTV) October 11, 2019
Watch the full season now on ABC iview pic.twitter.com/5ta2fAsNJh
Ia juga turut dibuktikan dalam satu kajian yang dilakukan oleh Victoria Transport Policy Institute di mana pengarangnya Todd Litman melakukan beberapa ujikaji yang menunjukkan julat kesan daripada induced demand ini.
Kesan jangka panjang (tempoh tiga tahun atau lebih) menyaksikan hampir keseluruhan kapasiti jalan raya telah pun dipenuhi oleh trafik.
Litman juga turut membuat pengiraaan terhadap kos dan manfaat daripada projek pelebaran lebuhraya bernilai $25 juta untuk jarak 10 kilometer yang berkadaran dengan masa.
Penemuan beliau mendapati, segala manfaat awal daripada projek pelebaran lebuhraya ini didapati lesap dalam masa satu dekad!
Untuk bacaan lanjut, anda boleh melayari pautan di bawah untuk mendalami kesan induced demand ini di Amerika Syarikat.