Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata strategi itu termasuk mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memproses permohonan surat kebenaran daripada pengguna, selain meminta institusi perbankan menubuhkan unit dalaman khusus untuk menerima dan memproses sebarang permohonan tersebut melalui kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi perbankan.
Datuk Armizan Mohd Ali berkata, “Bermula 2 September, BNM telah pun mengeluarkan arahan meminta bank dan institusi kewangan lain mewujudkan SOP bagi membolehkan pengguna memohon dan mendapatkan surat kebenaran."
“Berikutan kerjasama ini, BNM telah mengarahkan institusi perbankan untuk melaksanakan kedua-dua inisiatif selewat-lewatnya 3 Disember,” katanya pada sidang media selepas pertemuan dengan Kumpulan Carsome di sini hari ini."
Beliau berkata strategi itu adalah inisiatif kerajaan untuk memastikan pengguna mendapat akses kepada penyelesaian yang adil dan berkesan sebelum Lemon Law dilaksanakan.
Beliau berkata di bawah perundangan semasa, platform untuk pengguna kenderaan menuntut hak mereka adalah melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), di mana pengguna boleh mendapatkan penyelesaian kepada isu yang mereka hadapi, selaras dengan prinsip perlindungan pengguna di negara ini.
“Sejak Januari hingga Ogos tahun ini, KPDN menerima 114 tuntutan pampasan kenderaan dan 187 aduan membabitkan kenderaan terpakai di TTPM. Sebanyak 16 aduan lagi telah dirujuk kepada pasukan rundingan khas setakat Januari hingga September tahun ini,” katanya.
Pelaksanaan dan penguatkuasaan perundangan berkaitan Lemon Law di Malaysia bakal menyediakan hak ganti rugi kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan remedi bagi produk yang berulang kali tidak berfungsi dan gagal memenuhi standard kualiti dan prestasi.
Remedi yang boleh dituntut oleh pengguna atau pembeli di bawah Lemon Law termasuk pembaikan, penggantian, pengurangan harga atau bayaran balik.