Kamarul mampu tawan Phuket dengan sebelah tangan!

oleh Mohamad Hanif|
Kehilangan sebelah tangan ada kalanya sudah cukup untuk membuatkan seseorang itu berkurung di dalam dunia yang gelap gelita menyangka tiada hala tuju hidup untuk selama-lamanya.

Apatah lagi tangan yang hilang itu merupakan tangan dominan yang biasa digunakan dalam kehidupan seharian.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Namun, apabila menemubual seorang OKU sebelah tangan yang masih lagi menunjuk minat dan semangat juang yang tinggi untuk menunggang motosikal, penulis kagum seketika. Seakan tidak percaya. 
 


Itulah yang dibuktikan oleh Kamarul Amran Mohd Khalis, atau lebih selesa digelar Kamarul yang berusia awal 50-an, seorang kontraktor bumiputera scaffolding yang mahir mengendalikan projek tempatan seperti MRT dan LRT. 

“Saya kini melatih anak-anak supaya menceburi bidang yang sama,” ujar beliau ketika memulakan bicara. 

Melihatkan petah mulut bercerita berkenaan kisah silam, tidak tergambar sedikit pun perasaan trauma akibat peristiwa hitam yang meragut anggota badannya itu. 
 


Cerita malang tidak berbau bermula apabila Kamarul kehilangan tangan kanan beliau akibat kemalangan ketika menunggang sebuah motosikal jenis KTM 1190 yang baharu sahaja dua minggu keluar dari bilik pameran ketika pulang dari tempat kerja pada tahun 2016. 

Perasaan takut dan trauma adakalanya membataskan keinginan seseorang untuk kembali menunggang, apatah lagi selepas kejadian kemalangan yang mengakibatkan kehilangan anggota badan. 

Namun bagi beliau, kehilangan sebelah tangan bukanlah penghalang kepada minatnya mengembara menggunakan motosikal. 
 


Berbekalkan semangat yang enggan kalah kepada keadaan semasa, beliau telah memohon bantuan daripada Felani Design di Port Dickson bagi mengubahsuai motosikal beliau iaitu G650 X bersesuaian dengan keadaannya ketika itu.

Harman Felani, pemilik syarikat Felani Design mengambil tugas itu dengan memindahkan pemulas minyak dan sistem brek daripada sisi kanan ke sisi kiri. 

Bagi mereka yang menunggang motosikal secara normal, cuba bayangkan tangan kiri anda memulas pendikit minyak dan menarik klac, dan memberhentikan motosikal dalam masa yang sama. 

Itulah yang dilakukan oleh Kamarul yang baharu sahaja pulang dari Phuket Bike Week menggunakan BMW G650 X berseorangan tanpa sebarang teman. 


“Kadang kala, saya terpaksa minta bantuan daripada orang sekeliling untuk bantu saya sarung helmet dan jaket sebelum memulakan tunggangan,” ujar Kamarul. 

Bayangkan kesukaran beliau memakai helmet, jaket dan menunda motosikal sebelum memulakan perjalanan dan ketika berhenti berehat dengan hanya menggunakan sebelah tangan. 

Malah, beliau juga pernah sekali dua terjatuh di atas jalan bilamana beliau terlupa untuk menyesuaikan kelajuan motosikal dengan keadaan jalan di sana. 

Mujur juga orang ramai sudi membantu dan menolong beliau ketika berhenti di mana-mana perhentian sepanjang perjalanan.


Ketika ditemubual di Port Dickson sehari selepas pilihan raya umum, Kamarul juga ada menyatakan hasrat untuk melakukan kembara solo mengelilingi Semenanjung Malaysia dan juga Kepulauan Borneo. 

Demi menjadikan perjalanan beliau lebih menyenangkan, sekali lagi Felani Design mengambil alih tugas untuk mengubahsuai motosikal BMW beliau. 
 


Kali ini, pemulas pendikit minyak telah digantikan dengan lever custom dua peringkat, satu untuk tetapan kelajuan rendah atau ketika memulakan perjalanan, manakala satu lagi tetapan untuk kelajuan tinggi. 

Sistem klac asal juga telah digantikan menggunakan sistem hidraulik daripada Racing Boy. 

Menurut pemilik Felani Design, beliau juga kini di dalam perancangan untuk memasang tangan palsu atau prosthetic arm di bahagian kanan bagi memudahkan Kamarul mengendalikan motosikal G650 X  dengan lebih stabil ketika perjalanan jauh.
 


Ketika artikel ini sedang ditulis, mereka masih belum menetapkan rekaan yang sesuai untuk digunakan memandangkan prosthetic arm yang berada di pasaran adalah terlalu berat dan tidak sesuai untuk digunakan bagi mengendalikan motorsikal. 

“Besar kemungkinan kita akan gunakan teknologi 3D printing menggunakan bahan yang lebih ringan, lebih mudah pakcik (Kamarul) mengendalikan tunggangannya selepas ini,” kata Harman. 

Careta berasa amat kagum dengan usaha dan semangat yang ditunjukkan oleh Kamarul seusai temubual. 

Semangat tidak mudah putus asa ini sememangnya telah membakar diri penulis supaya lebih cekal dan teguh menghadapi segala rintangan di dalam hidup.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Sekatan jalan raya itu dijalankan sepasukan anggota dari Balai Polis Bukit Jelutong bermula jam 10…
Informasi
"Melalui program ini, individu terlibat perlu menjalani penilaian pramemandu dan menunggang…
Berita Domestik
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karudin berkata…