Kami korek rahsia jentera rali Triton T1 AXCR - standard tapi....

oleh Mohamad Hanif|
Ketika rakyat Malaysia sedang meraikan sambutan kemerdekaan negara pada 31 Ogos yang lalu, sekumpulan pengamal media tempatan termasuk Careta telah dijemput oleh pihak Mitsubishi terbang ke Thailand.
Perodua Aruz for Nov 2022 MREC

Bukan untuk pelancaran produk terbaharu, akan tetapi kami diberikan peluang untuk merasai sendiri duduk di dalam sebuah jentera rali yang bakal menandakan kepulangan semula Mitsubishi RALLIART ke persada sukan permotoran.

Jentera yang kami maksudkan adalah sebuah trak pikap Mitsubishi Triton Rally yang akan digunakan untuk menyertai acara Asia Cross Country Rally 2022 yang akan berlangsung pada November ini.
 

AXCR


Berikut merupakan beberapa fakta menarik yang sempat kami korek dalam sesi khas bersama pihak pengurusan Mitsubishi RALLIART tempoh hari bertempat di Grand Prix Motor Park, kira-kira tiga jam perjalanan dari bandar Bangkok.

Menurut Mitsubishi, trak pikap Triton ini sebenarnya diklasifikasikan sebagai sebuah kenderaan prototaip rentas negara di dalam kelas Group T1 oleh FIA.

Spesifikasi masih lagi standard kilang.
 

AXCR


Ya, jika anda merujuk kepada kertas spesifikasi rasmi, trak pikap rali Triton AXCR ini sebenarnya tidak mengalami sebarang talaan peningkatan kuasa yang khusus untuk kegunaan perlumbaan rali pada November ini.

Enjin masih lagi standard 4N15 2.4 liter diesel turbo MIVEC, dengan kuasa 181 PS dan daya kilas 430 Nm, dipadankan dengan transmisi manual enam nisbah kelajuan dan pemilihan pacuan Super-Select 4WD II.

Malah, casis dan suspensi juga sebenarnya sama seperti Triton dual cab yang terdapat di pasaran Thailand (dan juga Malaysia).

Jadi, apa yang berubahnya?
 

AXCR


Pertama sekali, nadi 2.4 liter diesel turbo MIVEC itu telah menjalani proses blueprint oleh pihak HKS, bertujuan untuk meningkatkan tahap responsif terutama pada julat kelajuan sederhana yang biasa digunakan dalam acara rali.

Kedua, Triton ini menggunakan unit penyerap hentakan serta limited slip differential (LSD) daripada CUSCO.

Ketiga, rim aloi aluminium bersaiz 17 inci daripada WORK, dibaluti tayar Yokohama Geolandar M/T pada keempat-empat sudut.

Keempat, sistem brek yang terdiri daripada angkup empat omboh dan rotor berventilasi depan belakang oleh ENDLESS.
 

AXCR


Di bahagian belakang trak pikap ini telah didatangkan dengan set tayar gantian, serta cangkuk tunda berkuasa elektrik Warn VR Evo. Pintu pada bed belakang telah dibuang jauh-jauh.

Bagi memastikan penambahan berat yang disebabkan oleh tayar yang lebar dan tambahan dua tayar gantian di belakang tidak menjejaskan prestasi dan pengendalian, beberapa komponen telah digantikan dengan bahan ringan gentian karbon.

Seperti contoh, hud hadapan diikuti dengan panel pintu depan dan belakang yang juga menggunakan bahan yang sama.
 

AXCR


Kerusi baris belakang telah dibuang jauh, sementara bahagian kabin telah menerima pemasangan sangkar keselamatan bertujuan untuk perlindungan yang lebih menyeluruh kepada pemandu dan juru arah.

Jangan tak tahu, trak pikap Triton rali ini juga masih lagi mengekalkan sistem pendingin hawa!

Akhir sekali, trak Triton AXCR ini telah dipasangkan dengan kelengkapan snorkel pada tiang A bagi memudahkan urusan meredah sungai atau laluan berpaya.
 

Axcr


Dari segi luaran, apa yang anda lihat sebenarnya adalah hampir sama dengan Triton standard yang ada di pusat pameran, tanpa meniru sesetengah pihak yang suka menambah tayar dan fender flare yang lebar pada trak pikap yang jarang-jarang sekali pun masuk hutan.

Cuaca yang panas membahang di sana tidak menghalang kami untuk duduk dan merasai sendiri pengalaman di dalam trak pikap spesifikasi rali.

Mujur juga Triton ini masih lagi mengekalkan sistem pendingin hawa, jadi tidaklah penulis dan juga pemandu perlu bermandi peluh sepanjang sesi taxi ride berlangsung.
 

Axcr


Saat duduk di dalam kabin Triton AXCR ini, tiada sebarang kelengkapan yang mewah wujud, apa yang ada hanyalah komponen asas yang diperlukan untuk perlumbaan.

Di depan pemandu, terdapat roda stereng tiga jejari sementara di sebelah tombol gear enam kelajuan itu terdapat tuil brek tangan hidraulik yang panjang bagi memudahkan tangan pemandu mencapai komponen tersebut ketika situasi mmemerlukan.

Di bahagian tengah masih lagi terdapat suis kawalan rotari Super-Select 4WD-II yang sama terdapat pada model produksi standard Triton,  membolehkan pemandu menukar konfigurasi pacuan mengikut keperluan laluan yang ditempuh sepanjang AXCR berlangsung.
 

Axcr


Saat kami mula bergerak, boleh dirasakan perubahan respons yang ketara antara trak pikap rali itu dengan model Triton MT yang pernah penulis pandu uji sebelum ini di Negeri Di Bawah Bayu kira-kira empat tahun yang lalu.

Walaupun angka output masih sama (181 PS/430 Nm), respons enjin tersebut jauh lebih ringan, dan penulis perasan (setelah rakan media mengakui perkara yang sama) ia langsung tidak membuang sisa-sisa jelaga hitam di belakang sewaktu dilenjan dengan keras di sepanjang laluan ujian di Grand Prix Motor Park tersebut.

Triton AXCR ini masih lagi mengekalkan geometri suspensi yang standard sama seperti trak pikap Triton lain, namun dengan talaan unit penyerap hentak khusus daripada CUSCO itu berjaya menyerap segala hentakan dan gegaran dengan baik tanpa menyebabkan perasaan ketidakselesaan pada pemandu dan juga penumpang di sebelah.
 

AXCR


Malah, ketika aksi meloncat dibuat, trak pikap Triton ini berjaya mendarat dengan kemas (macam kereta rali betul!) tanpa perlu penulis bimbang perlu ke hospital untuk menjalani CT Scan kepala sejurus selepas sesi taxi ride berakhir.

Jangkaan awal di mana penulis akan 'terbang' sekali sewaktu aksi melompat itu nyata terpadam memandangkan sistem tali pinggang keselamatan berjaya memegang erat tubuh badan penulis pada tempat duduk Bride Low Max sepanjang tempoh berada di dalam trak pikap tersebut.

Tak padan dengan fizikal sebuah trak pikap, ia sebenarnya sangat lincah dikendalikan di atas laluan ujian!
 

Axcr


Yang pasti, keluar sahaja dari trak pikap rali itu, senyuman lebar terukir di muka penulis walaupun dalam hati tidak puas kerana tempoh masa yang diberikan adalah sangat singkat.

Tidak seperti perlumbaan rali yang biasa, Asia Cross Country Rally (AXCR) sebenarnya merupakan perlumbaan rali rentas negara jarak jauh yang terbesar di Asia. Kebiasannya akan bermula di Thailand sebelum merentas ke negara-negara jiran seperti Malaysia, Singapura, China, Laos, Vietnam, Cambodia dan Myanmar.

AXCR merupakan medan ujian yang mampu mencabar skill dan kemahiran peserta dan pasukan pesaing ke tahap yang tertinggi, ditambah pula dengan gandingan bentuk muka bumi yang pelbagai seperti hutan, paya, sungai, padang pasir, laluan berkerikil sehinggalah kepada litar, bersama-sama dengan perubahan cuaca yang sukar untuk diduga di Asia.
 

AXCR


Untuk tahun ini, penganjuran AXCR yang ke-27 akan bermula pada 21 November ini di Buriram berdekatan dengan sempadan Kemboja, di mana para peserta akan menempuh laluan sepanjang lebih 1,700 km sebelum menamatkan perlumbaan di Angkor Wat, Siem Reap pada 26 November nanti.

Pasukan Mitsubishi RALLIART akan mendapat sokongan teknikal penuh daripada Mitubishi Motors Corp Jepun, diketuai sendiri oleh susuk tubuh bernama Hiroshi Masuoka, juara dunia dua kali Rali Dakar tahun 2002 dan 2003 sebagai prinsipal pasukan.

Senarai penuh barisan pelumba yang bakal mengendalikan trak pikap Triton pada AXCR hanya akan diumumkan kelak pada 16 September ini.
 

AXCR


Selamat kembali ke medan pertempuran sebenar, Mitsubishi RALLIART.

Berita Berkenaan

Sukan Bermotor
Jentera rentas negara prototaip Mitsubishi Triton T1 yang dipandu oleh Chayapon Yotha berjaya…
Sukan Bermotor
Mendapat sokongan teknikal penuh daripada Mitsubishi Motors Corp Jepun, cabaran AXCR 2022 tahun ini…
Berita Global
Bersempena dengan perlumbaan Asia Cross Country Rally 2022 yang akan berlangsung pada November ini…