Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Johari Yahya berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 8 pagi apabila tayar lori kontena yang membawa muatan batu kapur pecah mengakibatkan kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas ke arah bertentangan sebelum terbalik.
"Sebuah kereta jenis Mercedes-Benz yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar lori tersebut dan terseret bersama ke arah utara," katanya.
Kemalangan itu ujar beliau menyebabkan kanak-kanak yang merupakan penumpang kereta cedera manakala
pemandu lori serta pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Superintenden Johari berkata, dua lagi penumpang dewasa dalam kereta turut terselamat tanpa kecederaan.
Insiden tersebut katanya, menyebabkan semua lorong arah utara terpaksa ditutup sepenuhnya bagi kerja-kerja pembersihan dan pengalihan kenderaan terlibat.
"Laluan arah selatan hanya dibuka di lorong kanan, mengakibatkan kesesakan trafik sejauh lebih enam kilometer.
"Trafik lancar sepenuhnya dan laluan dibuka semula pukul 2.30 petang selepas lori yang terbalik diangkat," katanya.