Kastam Filipina hancurkan koleksi 21 supercar, termasuklah McLaren 620R!

oleh Mohamad Hanif|
Salah satu 'kegemaran' pihak berkuasa Filipina adalah menghancurkan koleksi kereta-kereta mewah, di mana mereka baru-baru ini bertindak melupuskan koleksi 21 buah kenderaan yang dirampas dengan cara yang bakal merobek hati.

Menurut hantaran dari FB Bureau of Customs PH, kesemua 21 unit kenderaan yang dirampas itu dianggarkan bernilai PHP58.55 juta (RM5 juta) termasuklah sebuah McLaren 620R, Bentley Flying Spur, Porsche 911, Lotus Elise, Mercedes SLK, dan Hyundai Genesis coupe.

Kesemua kenderaan tersebut diimport secara tidak sah oleh penerima yang berbeza dan dirampas secara berasingan dari tahun 2018 hingga 2020.

Presisden Rodrigo Roa Duterte menegaskan keperluan untuk menghancurkan kesemua unit kenderaan tersebut sebagai salah satu cara untuk menghantar mesej yang menggambarkan keseriusan kerajaan dalam membanteras kegiatan penyeludupan.

Tindakan kerajaan itu mengundang reaksi yang berbeza daripada netizen memandangkan kesemua kenderaan yang dirampas itu boleh diberikan peluang kedua untuk tujuan yang lebih bermanfaat.