Kawalan di KLIA Terminal 1 dan 2 dipertingkat dengan 4 skuter elektrik

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Bernama
Kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 di sini, oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus dipertingkatkan dengan penggunaan kenderaan mikromobiliti skuter elektrik.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata penggunaan skuter elektrik akan mempercepat rondaan PDRM sekali gus meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap keselamatan di pintu masuk utama negara.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Empat skuter elektrik diserahkan untuk kegunaan pasukan keselamatan di KLIA Terminal 1 dan 2, masing-masing terima dua.

"Pembelian telah dibuat awal dan ia tepat untuk tingkat kawalan keselamatan dan kepercayaan masyarakat," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan empat skuter elektrik berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua kenderaan mikromobiliti bernilai RM55,000 itu adalah sumbangan Menteri Besar Diperbadankan (MBI) dan akan ditambah jika terdapat keperluan atau sebarang permintaan lanjut.

Menurut Amirudin kenderaan mikromobiliti itu sering digunakan di lapangan terbang antarabangsa luar negara dan boleh mencapai kelajuan 20 hingga 30 kilometer sejam (km/j).

"Kelebihannya kenderaan ini adalah boleh digunakan 24 jam sekali cas," katanya.

Amirudin berkata penggunaan kenderaan berkenaan di lapangan terbang penting kerana ia merupakan kawasan tumpuan di Malaysia dengan merekodkan 60 juta pengunjung setahun.

"Purata pengunjung harian ialah 250,000 dengan 251 pesawat berurusan di lokasi itu setiap hari," katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata PDRM meningkatkan kawalan dan jumlah penugasan pegawai serta anggota di KLIA Terminal 1 dan 2, susulan insiden tembakan pada 14 April lepas.

Beliau berkata kawalan keselamatan dan pemantauan pada masa ini membabitkan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri/Ketenteraman Awam.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 itu, seorang lelaki telah melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Global
Dalam tempoh enam bulan sejak Julai lepas, 85 nahas lalu lintas melibatkan skuter elektrik…
Berita Global
Mengikut spesifikasi, Lambretta Elettra 2024 ini datang dengan motor elektrik tunggal berkuasa 15…
Berita Global
Diperlihatkan buat kali pertama pada September yang lalu, Honda Motocompacto merupakan satu tribut…