Hadir dengan lencana Kawasaki, Ninja ZX-6R baharu itu juga merupakan model pemasangan tempatan (CKD) oleh Modenas, yang telah dieksport ke pasaran China terlebih dahulu.
Hadir sebagai model supersport, Ninja ZX-6R dikuasakan nadi 636 cc empat silinder sebaris yang menghasilkan kuasa sehingga 122 HP dan 70 Nm.
Bagi memenuhi piawaian emisi Euro 5, Kawasaki telah menaik taraf enjin tersebut dengan paip manifold ekzos dan cam profil baharu yang membantu meningkatkan prestasi.
Bahagian suspensi pula merangkumi fork USD Showa Separate Function Fork – Big Piston (SFF-BP) 41 mm di depan dan monoshock di belakang.
Bagi meningkatkan ciri moden, Ninja ZX-6R turut dilengkapi paparan meter TFT berwarna 4.3 inci yang memaparkan segala maklumat, serta hadir dengan fungsi ketersambungan telefon pintar.
Selain itu, Ninja ZX-6R juga dilengkapi pelbagai ciri elektronik seperti pilihan 4 mod tunggangan (Sport, Road, Rain dan Rider), kawalan cengkaman dan fungsi quickshifter.
Untuk pasaran Malaysia, dua warna akan ditawarkan iaitu Metallic Flat Spark Black / Ebony dan Lime Green / Ebony dengan harga RM59,900 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.
Pra-tempahan bagi Kawasaki Ninja ZX-6R boleh dibuat bermula 1 Disember 2024 hingga 31 Januari 2025 dengan wang pendahuluan RM500 sahaja di semua bilik pameran Kawasaki All-Star.
Menariknya, 50 pemilik pertama Ninja ZX-6R akan menikmati acara penyerahan ekslusif yang akan dianjurkan di Sepang pada Februari 2025.