Untuk dron tanpa pemandu K-Racer X1, Kawasaki mengambil langkah yang lebih berani dengan memasang enjin pengecas lampau 1,000 cc yang diperoleh daripada motosikal H2R, seperti yang diperlihatkan pada tahun lalu.
Mengikut spesifikasi, Kawasaki H2R mampu menjana kuasa setinggi 310 PS dan daya kilas 165 Nm, namun pada dron ini tiada sebarang angka prestasi didedahkan buat masa ini.
Kawasaki turut memperlihatkan prototaip penerbangan K-Racer dalam mengendalikan penghantaran barang, di mana sebuah lagi robot kargo autonomi digunakan sebagai sebahagian daripada sistem logistik automatik penuh.
Rekaan K-Racer X1 lebih menyerupai sebuah helikopter tanpa ruang kabin, dan jika helikopter tipikal mempunyai rotor pada bahagian ekor, K-Racer ini mempunyai dua rotor dengan rekaan sayap yang agak pendek pada kiri dan kanan bertujuan untuk mengimbangkan pergerakan serta daya kilas yang terhasil dari rotor utama ketika penerbangan.
Kawasaki juga dilaporkan sedang membangunkan sistem pada skala yang lebih besar, bertujuan untuk mengintegrasikan sistem robotik yang lain serta menjadikan proses penghantaran barangan menjadi automatik sepenuhnya tanpa memerlukan tenaga manusia.
Sumber: New Atlas