Kawasan rekreasi Gunung Keriang dijadikan litar lumba haram, 120 ditahan

oleh SALINA JALIL|
Lokasi di Gunung Keriang sepatutnya dijadikan tempat riadah keluarga pada cuti hujung minggu di Kedah.


Namun, sebaliknya yang berlaku di mana sekumpulan individu menjadikan lokasi berkenaan sebagai litar lumba sehingga mencetuskan ancaman serta gangguan kepada orang ramai.

 

Kegiatan kumpulan ini bagaimanapun telah diintip sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, yang bertindak mengepung dan menahan individu terbabit pada Jumaat.

 

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, selepas serbuan dilakukan, sebanyak 77 motosikal, 30 kereta dan 120 individu ditahan.

 

Sejumlah 86 saman dikeluarkan ke atas penunggang motosikal motosikal dan 30 pemandu kereta.

 

Antara kesalahan termasuk tidak memiliki lesen memandu, ubah suai kenderaan, tiada cukai jalan dan tamat tempoh, serta kesalahan berlumba.

 

"Kebanyakan kesalahan ini tidak mempunyai lesen memandu dan juga ubah suai motosikal.

 

"Ini kesalahan paling banyak dan ada juga di antara pemandu kereta ini yang sebagai penonton, mereka juga tidak mempunyai lesen memandu dan kita keluarkan saman ke atas mereka juga," kata Ahmad Shukri.

 

Katanya lagi, kesemua mereka yang ditahan berusia di antara 16 dan 30 tahun, termasuk pelajar sekolah.

 

Jelas Ahmad Shukri, ibu bapa dan penjaga ini dipanggil dan diberi nasihat supaya mengawasi dan memantau pergerakan anak mereka.

 

lumba

Astro Awani