KBS - Denda sehingga RM500,000 jika tiada lesen anjur sukan bermotor

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Semua penganjur sukan permotoran di negara ini digesa mengutamakan aspek keselamatan dengan mendapatkan kebenaran daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan Persatuan Permotoran Malaysia (MAM), sebelum menganjurkan sesuatu acara bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.


Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata ia selaras dengan Seksyen 36 Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576), yang memperuntukkan syarikat hendaklah memohon lesen untuk beroperasi daripada Pejabat PJS dalam tempoh 30 hari bagi acara tempatan dan 90 hari untuk acara antarabangsa, sebelum tarikh penganjuran program itu.

 

Hannah menegaskan denda antara RM50,000 sehingga RM500,000 boleh dikenakan kepada penganjur acara sukan bermotor sekiranya gagal memenuhi syarat memohon lesen penganjuran daripada PJS seperti termaktub di bawah Seksyen 36 Akta Pembangunan Sukan 1997.

 

Menurutnya, penganjur juga perlu memilih litar yang sudah melalui pemeriksaan oleh Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) serta memohon lesen untuk menganjurkan sukan bermotor.

 

Selain itu, litar lumba yang digunakan perlulah diaudit serta disahkan selamat oleh MAM selaku badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang diiktiraf oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa.

 

"Sukan permotoran merupakan sukan yang mempunyai ramai peminat dan sering mendapat perhatian rakyat Malaysia khususnya golongan belia. Jadi, orang ramai yang berminat menyertai sukan permotoran, perlu memastikan penganjur mempunyai lesen dan litar lumba yang digunakan berada dalam senarai MAM.

 

"Kementerian akan bekerjasama dengan polis untuk memastikan penganjur mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan dan tindakan perundangan boleh dikenakan, sekiranya gagal mematuhi atau berlaku cuai sebelum, semasa dan selepas penganjuran," katanya pada sidang media Penganjuran Acara Sukan Bermotor di Malaysia, yang diadakan di Speedway PLUS Karting Circuit, pada Jumaat.

 

gambar hiasan

 

Sementara itu, Presiden MAM Tan Sri Mokhzani Mahathir memaklumkan, setakat ini hanya 15 daripada 22 litar lumba telah mendapat kelulusan keselamatan daripada MAM, untuk menganjurkan perlumbaan.

 

Litar lumba yang sudah mendapat penyeliaan penganjuran perlumbaan tahunan ialah Litar Antarabangsa Sepang; Sepang Kart Circuit Circuit dan City Karting Shah Alam Kart Circuit di Selangor, serta Morac Adventure Track (Kart Circuit) Langkawi, Kedah.

 

Sementara itu, litar lumba yang mendapat kelulusan perlumbaan melalui acara pula adalah Speedway Plus Circuit; Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor; Alyezo SpeedZone di Selangor; Tangkak Racing Track, Johor; Litar Pemotoran Antarabangsa Melaka, Melaka.

 

Turut tersenarai Litar Lumba UNIMAP Changlun, Perlis; Pusat Sukan Universiti Utara Malaysia, Kedah; Litar Permotoran Terengganu Gong Badak, Terengganu; Miri Track Permyjaya di Sarawak, APDCREW Circuit MAEPS, di Selangor serta Litar Drag Jempol, Negeri Sembilan.

 

-- BERNAMA

Berita Berkenaan

Informasi
Katanya, tiada maklumat terperinci bagi penganjuran Formula E, tetapi ia melibatkan kos dua kali…
Sukan Bermotor
Inisiatif tersebut membolehkan semua golongan peminat sukan permotoran untuk merasai pengalaman…
Berita Domestik
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata peruntukan yang dibentangkan kerajaan terdahulu pada…