Kecuaian penyumbang utama nahas motosikal berkuasa tinggi

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Kebanyakan penunggang motosikal berkuasa tinggi dilengkapi dengan ilmu pemanduan selamat yang dianjurkan oleh kelab motosikal masing-masing bagi mengelak terjebak dalam kemalangan.

Presiden Kedah International Bike Week (KDIBW 2024), Datuk Mohammad Haromen Zaki Muhammad Hashim berkata, ini kerana sebahagian besar kemalangan membabitkan motosikal berkuasa tinggi berpunca dari kecuaian pihak lain atau penunggang leka ketika di jalan raya.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

Menurutnya, faktor jalan raya hanya menyumbang dalam peratusan kecil selain faktor alam yang diibaratkan sebagai luar jangka.

“Penunggang motosikal berkuasa tinggi sebenarnya memang dididik dengan ilmu menunggang kerana ia berbeza dengan motosikal biasa.

“Kebanyakan kemalangan babitkan motosikal berkuasa tinggi bukan dari kesalahan penunggang sebaliknya berpunca daripada kecuaian pihak lain, antaranya kenderaan keluar tanpa beri isyarat awal,” katanya di Alor Setar pada Jumaat.

Mohammad Haromen Zaki berkata, sistem pemotoran berkuasa tinggi diciptakan dengan teknologi tinggi malah sistem sensor dan brek berfungsi dengan baik dari jarak jauh dan ia mampu menyelamatkan nyawa.

“Namun atas sikap kecuaian pemandu lain menyebabkan berlaku kemalangan maut kepada penunggang.

“Disebabkan itu, penunggang bermotosikal tinggi yang bergerak secara berkumpulan mahupun solo akan menggunakan laluan sebelah kanan kerana laju. Jika berada di sebelah kiri, akan mengundang lebih risiko kerana kebanyakan kereta dan lori menggunakan laluan tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, setiap penunggang dilengkapi ilmu keselamatan yang tinggi kerana bukan mudah untuk mengawal motosikal berkuasa tinggi.

“Faktor jalan raya hanya minimum, contohnya laluan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) terdapat banyak lubang dan kehadiran paku menyebabkan penunggang tak dapat kawal motosikal apabila tayar pecah.

“Faktor alam turut menyumbang kerana negara kita beriklim Khatulistiwa, menimbulkan masalah yang berpunca dari alam sekitar.

“Saya percaya kerajaan sudah sediakan jalan raya yang baik, malah kebanyakan jalan raya diperbesarkan kepada tiga laluan berbanding dua laluan, yang mana memudahkan penunggang motosikal agar tidak dihimpit kenderaan lain,” jelasnya.

contoh

Mohammad Haromen Zaki menasihatkan penunggang baharu agar sentiasa melengkapi diri dengan ilmu pemanduan selamat selain merujuk kepada pakar dalam pengendalian motosikal berkuasa tinggi.

Pada Mei, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan, Malaysia merekodkan purata 17 kematian setiap hari akibat kemalangan jalan raya pada tahun lalu.

Sekitar 600,000 kes kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara dengan jumlah kematian 6,443 orang, yang mana 4,295 daripadanya melibatkan penunggang motosikal.

Sebanyak 65 peratus daripada jumlah kematian itu disumbangkan oleh penunggang dan pembonceng motosikal, melibatkan golongan usia 16 tahun hingga 35 tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Haromen Zaki memaklumkan, pihaknya akan menjalin kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah dalam memastikan pelajar memiliki lesen sah bagi mengurangkan kes kemalangan membabitkan golongan itu.

“Kelab motosikal kami akan berkolaborasi dengan JPJ Kedah dan kerajaan negeri untuk dekati pelajar sekolah menerusi program menawarkan lesen, agar setiap pelajar mempunyai lesen sah.

“Ini kerana ramai pelajar sekolah (cukup umur) tidak miliki lesen tetapi menunggang motosikal,” ujarnya.

Menurutnya, perbincangan kolaborasi itu masih di peringkat awal, antara yang akan diketengahkan ialah berkaitan aspek keselamatan dan pemanduan di jalan raya.

“Kita akan bekerjasama dengan kelab-kelab yang bernaung bawah KDIBW. Antaranya DSZ Bikers dari Kuantan yang merupakan antara kelab yang sertai kita dalam program keselamatan sebelum ini.

“Kita juga akan tampilkan pakar untuk berkongsi ilmu berkaitan motosikal termasuk aspek teknikal supaya pendedahan itu dapat difahami sejak usia muda, ia wajar diterapkan di peringkat sekolah,” ujarnya.

 

Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pemandu tersebut dikatakan terlupa untuk menarik brek tangan kereta yang dipandu sehingga kenderaan…
Berita Domestik
"Antara punca lain berlaku kemalangan adalah tidak peka dan prihatin sehingga terbabas sendiri dan…
Berita Domestik
"Hasil siasatan mendapati, ibu mangsa telah menghantar dua anaknya ke sekolah dan seterusnya pergi…