Kehadiran penuh - sekolah hadiahkan motosikal!

oleh Mohamad Hanif|
Seramai 52 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Sepat sangat bertuah apabila mereka diraikan oleh guru dan pihak sekolah kerana mecatat rekod kehadiran 100 peratus pada tahun ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Lebih menggembirakan apabila seorang pelajar menerima motosikal Yamaha, dua lagi masing-masing menerima hadiah televisyen 32 inci dan pakej percutian ke Langkawi.

Hadiah-hadiah utama itu dimenangi ketiga-tiga pelajar itu menerusi cabutan bertuah manakala baki pelajar lain diberi sijil dan pelbagai peralatan sekolah.

Pengetuanya, Azman Mashuri berkata, menerusi rekod dari Januari hingga Novemberalu, pihak sekolah mencatatkan seramai 52 pelajar SMK Tanjung Sepat tidak pernah ponteng sekolah.

“Daripada jumlah pelajar tidak ponteng itu, kita melakukan proses cabutan bertuah bagi membolehkan mereka menerima tiga hadiah paling istimewa yang ditawarkan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Katanya, seramai 49 pelajar lain pula menerima sijil dan pelbagai peralatan sekolah bagi menghargai kerajinan mereka ke sekolah.

Mengulas lanjut, Azman berkata, Program Ponteng Sifar (Proponsif) itu diadakan buat kali kedua pada tahun ini dan menerima reaksi positif daripada pelajar.

Katanya, ia dibuktikan menerusi peningkatan jumlah kehadiran pelajar iaitu daripada 82 peratus pada 2018, 2019 (86 peratus) dan 90 peratus pada tahun ini.

“Matlamat utama ialah supaya pelajar lebih bermotivasi untuk ke sekolah kerana sekolah tempat untuk menimba ilmu dan pada masa sama melindungi mereka daripada melakukan aktiviti tidak bermoral.

“Apabila kehadiran meningkat, guru-guru dan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) boleh memfokuskan cara bagi meningkatkan tahap akademik di sekolah ini,” katanya.

Katanya, walaupun SMK Tanjung Sepat, sebuah sekolah kecil tetapi ia tidak menghalang beliau dan pengurusan untuk meletakkan kedudukannya pada tahap terbaik.

Sumber: SelangorKini