Kelewatan perkhidmatan KTM Komuter, ETS di beberapa laluan susulan kerja naik taraf

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Perkhidmatan tren KTM Komuter dan tren elektrik (ETS) di beberapa laluan mengalami kelewatan serius daripada jadual asal susulan pelaksanaan kerja migrasi sistem semboyan yang bermula 30 Mei hingga Selasa.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memaklumkan kerja itu melibatkan perkhidmatan KTM Komuter laluan Pulau Sebang-Batu Caves-Pulau Sebang dan Tanjung Malim-KL Sentral-Tanjung Malim serta perkhidmatan ETS.

"Kerja migrasi sistem semboyan sedang dilaksanakan di laluan antara Stesen Kepong sehingga Stesen Salak Selatan untuk memastikan sistem semboyan lebih cekap, selamat dan mampu menyokong operasi tren penumpang yang semakin meningkat di Lembah Klang," menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha mewakili pengurusan syarikat itu memohon maaf kepada penumpang yang terkesan atas kelewatan sepanjang tempoh migrasi sistem berkenaan.

KTMB memaklumkan kerja itu dilaksanakan di bawah Projek Menaik Taraf Kemudahan Infrastruktur Landasan Kereta Api Berkembar Elektrik Lembah Klang (KVDT) Fasa 1, bermula 2015 melibatkan kerja membaik pulih landasan serta sistem perkeretapian dari Rawang ke Salak Selatan serta dari Simpang Batu ke Sentul melibatkan jarak 110 kilometer (km).

Skop projek KVDT Fasa 1 melibatkan kerja naik taraf formasi dan struktur landasan bertalian atas, penambahbaikan sistem persemboyanan dan komunikasi, sistem elektrifikasi dan naik taraf kemudahan di 16 stesen utama di sektor Lembah Klang.

Semua skop kerja bagi projek itu disiapkan pada April, kecuali bagi sistem persemboyanan.

KTMB juga memaklumkan projek KVDT Fasa 2 bermula pada Februari 2023 untuk jajaran sepanjang 140km meliputi kawasan dari Salak Selatan ke Seremban dan dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang, dengan jangkaan siap pada 2029.

Sejak projek baik pulih dan menaik taraf infrastruktur landasan kereta api berkembar itu bermula, jumlah perkhidmatan KTM Komuter dihadkan mengikut frekuensi selang masa 30 minit kerana hanya satu landasan dapat beroperasi di sektor landasan yang sedang dirombak dan dirawat.

"Kerja baik pulih ini penting demi memastikan keselamatan pengangkutan rel kerana selain faktor infrastruktur landasan yang telah lama, terdapat beberapa lokasi di jajaran landasan utama kerap mengalami banjir, sekali gus menimbulkan risiko kepada operasi tren," menurut kenyataan itu.

Pelaksanaan projek itu juga dapat menampung kapasiti penggunaan lebih tinggi pada masa akan datang dengan lebih cekap dan efektif, manakala penambahbaikan sistem semboyan yang lebih moden dapat mengurangkan selang waktu perkhidmatan tren.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
KTMB dalam kenyataan berkata, mulai 1 Januari 2026, perkhidmatan ETS dan KTM Intercity (kecuali…
Berita Domestik
Perkhidmatan penumpang di stesen tersebut kembali beroperasi seperti biasa bermula jam 7.51 malam.…
Berita Domestik
Majlis agihan ini disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, YBhg. Dato’ Seri…