Kemalangan kereta api di Lipis, empat cedera

oleh Penyumbang Rencana 2|
Empat pekerja syarikat penyelenggaraan rel kereta api cedera dalam kemalangan membabitkan dua tren berhampiran stesen kereta api Chegar Perah di Lipis, kira-kira 300 kilometer dari Kuantan, semalam.


Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata kemalangan dipercayai berlaku jam 9.30 pagi ketika kereta api milik syarikat swasta dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu sedang melakukan kerja baik pulih landasan di Kilometer 206.75 laluan itu.

 

Katanya, sebuah daripada kereta api itu dalam perjalanan dari Stesen Chegar Perah ke Stesen Padang Tengku di Lipis, manakala sebuah lagi dari arah bertentangan.

 

"Mangsa, semua lelaki berusia antara 23 dan 41 tahun. Tiga daripada mereka cedera ringan manakala seorang lagi parah di bahagian kaki kerana difahamkan tersepit dalam sebuah daripada kepala kereta api.

 

"Bomba mengambil masa sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan semua mereka dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan," katanya menerusi kenyataan media semalam.

 

Azli berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu jam 10 pagi dan operasi menyelamat disertai lima pegawai dan 21 anggota terdiri daripada polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

 

Operasi turut membabitkan 20 kakitangan KTMB dan enam kakitangan Kementerian Kesihatan.

 

 

BERNAMA

Berita Berkenaan

Informasi
"Pelarasan semula kadar tambang ini akan memanfaatkan kira-kira 40,000 rakyat Malaysia yang…
Informasi
"Penumpang perlu mengakses pintu masuk dan keluar (ACG) untuk menikmati tambang tren KTM Komuter…
Berita Domestik
Beliau memberitahu, hasil siasatan mendapati kontraktor memasuki kawasan larangan berhampiran…