Menurutnya, hasil kajian mendapati faktor utama peningkatan kemalangan maut adalah disebabkan kecuaian pemandu sendiri selain sedikit dipengaruhi keadaan jalan raya.
"Perkara ini sangat membimbangkan, justeru langkah penguatkuasaan perlu dipertingkatkan bagi memastikan pengguna jalan raya lebih berdisiplin dan mematuhi peraturan ditetapkan," katanya pada sidang media selepas pelancaran Ops Selamat Tahun Baharu Cina 2026, di Kuching pada Khamis.
Mohamad Zainal berkata, Ops Selamat sempena Tahun Baharu Cina 2026 akan dijalankan selama enam hari bermula 15 hingga 20 Februari ini.
Beliau berkata, seramai 850 pegawai dan anggota polis akan digerakkan di seluruh negeri dengan kerjasama agensi sahabat khususnya JPJ serta JBPM.
"Operasi ini bertujuan menguatkuasakan undang-undang dan memastikan pematuhan peraturan jalan raya selain mendidik pengguna supaya lebih berhemah ketika memandu," katanya.
Beliau berkata, Ops Selamat Tahun Baharu Cina tahun lalu berjaya mengurangkan kadar kemalangan maut dan pihaknya berharap kejayaan sama dapat dicapai pada tahun ini.
Beliau menjangkakan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya berikutan ramai yang akan pulang ke kampung halaman sempena cuti panjang perayaan.
"Kita percaya akan berlaku pergerakan kenderaan yang tinggi di seluruh negeri. Oleh itu, kita menasihatkan pengguna supaya memandu dengan berhati-hati, tidak cuai, mematuhi had laju serta berhenti berehat sekiranya mengantuk.
"Pasukan pemantau akan ditempatkan di setiap 'hotspot' yang dikenal pasti di bandar utama bagi memastikan kelancaran trafik dan mengurangkan risiko kemalangan," katanya.
Menurutnya, sebanyak 85 lokasi hotspot dikenal pasti di seluruh Sarawak, yang kebanyakannya berada di bandar utama antaranya Kuching, Sibu, Bintulu serta Miri dan dijangka mengalami kesesakan trafik sepanjang musim perayaan.
Beliau menegaskan bahawa tiada lokasi 'black spot' dikenal pasti di negeri ini, sebaliknya hanya kawasan hotspot yang berpotensi berlaku kemalangan akibat kesesakan.
"Black spot adalah merujuk kepada kawasan yang kerap berlaku kemalangan maut dan di Sarawak tiada kawasan yang seperti itu," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mengadakan lawatan ke Sarawak mulai 8 hingga 14 Februari ini bagi meninjau fasiliti pos kawalan sempadan yang dikendalikan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta melihat keadaan anggota bertugas di balai pedalaman, termasuk penambahbaikan kemudahan daripada khemah kepada kabin demi keselesaan anggota.