Kembar D55L, Rocky/Raize peroleh skor lima bintang JNCAP!

oleh Mohamad Hanif|
Dalam satu ujian terbaharu yang dibuat terhadap Daihatsu Rocky dan Toyota Raize, kedua-dua kereta kembar tersebut berjaya memperoleh penarafan lima bintang penuh oleh Japan New Car Assessment Program (JNCAP).
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

SUV kecil yang dilancarkan pada tahun lalu itu memperoleh skor 85.7 daripada 100 markah penuh, dan berjaya melepasi poin minimum 82 bagi penarafan lima bintang oleh JNCAP.

Namun, tidak seperti Euro NCAP, JNCAP mengasingkan skor untuk keselamatan pasif dengan keselamatan aktif di mana Daihatsu Rocky/Toyota Raize berjaya mendapat penarafan ASV++ daripada penarafan penuh ASV+++.

Di Jepun, model varian tertinggi dilengkapi dengan ciri bantuan Smart Assist yang merangkumi brek kecemasan autonomi dengan pengesan pejalan kaki, kawalan pelayaran adaptif untuk semua kelajuan, serta fungsi pencegahan pemanduan bermasalah dengan kawalan brek.

 


Tatkala Daihatsu Rocky/Toyota Raize berjaya memperoleh skor cemerlang di dalam semua aspek yang diuji, hanya aspek brek kecemasan autonomi (AEB) sahaja yang tidak berjaya memperoleh skor penuh.

Malah, sistem brek kecemasan ini tidak begitu berkesan jika diuji terhadap pejalan kaki dengan skor yang sangat rendah (12.9/80).

Sistem AEB yang digunakan pada Daihatsu Rocky dan Toyota Raize ini adalah menyamai sistem A.S.A 2.0 yang digunakan pada Perodua Axia, Bezza dan Aruz, tidaklah sekompleks ciri kereta mewah akan tetapi cukup baik untuk segmen kereta bajet.

 


Selain daripada Daihatsu Rocky/Toyota Raize, SUV yang dibangunkan daripada platform DNGA ini juga akan turut dijual sebagai versi tukar jenama oleh Perodua (D55L) dan dijangka muncul di pasaran Malaysia pada tahun ini.

Seperti Daihatsu Rocky/Toyota Raize, Perodua D55L disahkan bakal menggunakan enjin tiga silinder sebaris 1.0 liter turbo yang menghasilkan 97 hp dan 140 Nm.

Harga jualan Perodua D55L masih belum diketahui, akan tetapi menurut sumber ia bakal diposisikan di bawah julat harga Perodua Aruz yang bermula dari RM72,900 - RM77,900 (atau bermula dari RM68,526 - RM73,226 mengikut harga terkini).

Sumber: JNCAP

Berita Berkenaan

Berita Global
  Setiap tahun, Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan (MLIT) dan Agensi…