Menurut syarikat Jepun itu, kes ini akan memungkinkan kenderaan kehilangan kuasa dan terhenti secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran, walaupun sistem brek dan stereng dikatakan masih lagi mampu beroperasi ketika insiden terjadi.
Kempen panggil semula ini turut melibatkan sejumlah 1.25 juta unit kenderaan di Jepun, 807 ribu unit di Amerika, 290 ribu di Eropah, 3 ribu unit di China dan selebihnya pasaran global, termasuklah Toyota Prius dan Auris hibrid yang diproduksikan dari Oktober 2008 sehingga November 2014.
Sehingga kini, Toyota telah menerima tiga laporan berkenaan insiden kenderaan terhenti dengan sendiri di Jepun, dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Sementara itu, UMW Toyota Malaysia memanggil kembali hampir 6,160 unit Prius 1.8 liter yang dipasang pada tahun 2009-2013 menerusi kempen Special Service (SSC) bagi menawarkan kemaskini perisian hibrid yang terpasang pada kenderaan yang terjejas secara percuma sebagai penyelesaian kepada isu baharu yang melanda.
Walaupun setakat ini tiada kes yang serupa dilaporkan oleh para pengguna tempatan, pihak UMW Toyota ingin memastikan prestasi kenderaan di tahap yang memuaskan dan menjamin keselamatan para pengguna.
Para pemilik akan dihubungi oleh UMW Toyota berhubung kempen panggil semula ini dan proses kemaskini akan mengambil masa kira-kira satu jam sahaja.
Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi talian bebas tol di 1-800-8-TOYOTA (869682)