Kenali Lamborghini Murciélago, model ikonik yang diperkenal pada 2001

oleh Muhammad Md Tajudin|
Lamborghini Murciélago
Lamborghini Murciélago
2022 merupakan tahun penting buat Lamborghini sebelum rangkaian kuasa hibrid digunakan secara massa pada model keluarannya tahun depan.

Ini adalah tahun di mana Lamborghini meraikan enjin V12 yang telah menguasakan kebanyakan model ikonik dalam tempoh 60 tahun.

Sana sini kereta hibrid dan ianya sudah pun mengubah landskap automotif dunia. Deruman dan lonjakan enjin pembakaran dalaman dibantu oleh bateri dan motor elektrik.

Satu daripada model ikonik Lamborghini yang dikuasakan enjin 12 silinder ialah Murciélago.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Lamborghini Murciélago

 

Model ini pertama kali dipertonton pada Pameran Kenderaan Frankurt pada September 2001 dan Murciélago mempunyai tugas iaitu membawa enjin V12 ke abad ke-21.

Dari sini boleh dilihat betapa pentingnya enjin V12, dibawa dari abad ke-20 dan selepas ini bakal digandingkan dengan nadi elektrik.

Tugas yang dibawa Murciélago dilaksana dengan baik melalui kuasa 580 hp dari enjin 6.2 liter.

Angka itu begitu tinggi pada masa pengubah bermangkin perlu dipasang supaya dapat digunakan secara halal di serata dunia termasuk negara dengan undang-undang paling ketat.

 

Lamborghini Murciélago

 

Murciélago juga model Lamborghini pertama yang direka sepenuhnya menggunakan sistem CAD-CAM yang dapat memberikan ketepatan reka bentuk tahap tertinggi.

Selain itu, pemasangan dan kemasan dapat dibuat dengan lebih berkualiti.

Reka bentuk Murciélago dibuat sepenuhnya di bahagian reka bentuk baharu iaitu Lamborghini Centro Stile.

Siapa individu penting di sebalik rekaan Murciélago? Luc Donckerwolke yang kini bersama Hyundai Motor Group dan Genesis.

Sebelum Murciélago, Luc Donckerwolke diberi tugas untuk merekabentuk Diablo VT dan projek terbaru ini merupakan satu keistimewaan yang jarang diperolehi.

 

Lamborghini Murciélago

 

Reka bentuk luaran dan dalaman direka dari kosong dan walaupun membawa legasi model terdahulu jelas boleh dilihat satu anjakan segar pada Murciélago. 

Lebar dan tinggi hanya 3.9 kaki! Pintu 'gunting' yang sudah menjadi identiti pula dikekalkan.

Semasa diperkenalkan, Murciélago ditawarkan dalam satu varian hard top dengan enjin 6.2 liter berkuasa 580 hp pada 7,200 rpm.

Enjin itu menggunakan pelinciran takung kering (dry-sump) dan membolehkan nadi V12 tersebut dipasang 5 cm lebih rendah berbanding Diablo dan membantu dari segi pemanduan.

Kelajuan Murciélago mencecah 330 km/j dan pecutan 0-100 km/j hanya memerlukan 3.8 saat.

 

Lamborghini Murciélago

 

Pada 2004 Lamborghini memperkenalkan Murciélago coupé manakala generasi kedua Murciélago iaitu LP 640-4 menyusul pada 2007.

Model terbaru itu lebih berkuasa dengan output 640 hp pada 8,000 rpm.

Pada 2010, Lamborghini memperkenalkan LP 650-4 Roadster dengan bumbung soft top dan digerakkan enjin 6.5 liter berkuasa 650 hp pada 8,000 rpm.

Murciélago 670-4 SV atau Super Veloce mula memasuki pasaran pada 2009-2010 dan sekali lagi lebih berkuasa dengan 670 hp dan kelajuan maksimum 341 km/j.

Berat model ini 100 kg lebih ringan hasil penggunaan komponen gentian karbon.

 

Lamborghini Murciélago

 

Kesemua model Murciélago menggunakan pacuan semua roda dan sistem itu diambil terus daripada Diablo.

Daya kilas yang dihantar atau nisbah pembahagian ialah maksimum 70 peratus untuk roda belakang dan baki 30 peratus kepada roda depan.

Satu fakta penting Murciélago apabila ianya model V12 Lamborghini terakhir menggunakan transmisi mekanikal atau enam kelajuan manual.

Kemudian barulah Lamborghini menggunakan transmisi automasi elektronik (e-gear) dengan pedal anjakan gear di sebalik stereng.

 

Lamborghini Murciélago

 

Sepanjang penawaran, Murciélago mempunyai beberapa edisi terhad seperti 40th Anniversary pada 2003 dengan jumlah 50 unit sahaja.

Model ini mempunyai beberapa ciri khas seperti warna Verde Artemis, perincian gentian karbon, roda dan ekzos yang dipertingkatkan.

Murciélago LP 640 Versace pula diperkenal pada 2006 dan ditawarkan dalam dua warna sahaja iaitu hitam dan putih.

Model ini mempunyai set sepadan dengan dalaman kereta seperti bagasi yang dikeluarkan oleh Versace dan aksesori khas kasut memandu dan selendang.

 

Lamborghini Murciélago

 

Satu lagi model istimewa ialah 670-4 SV China Limited Edition yang dikeluarkan khusus untuk pasaran China dengan jumlah terhad sepuluh unit sahaja.

Murciélago juga mencatat rekod baharu pada Februari 2002. Kereta ini dibawa ke litar Nardò, Puglia bagi mencipta rekod kereta produksi standard terpantas di dunia.

Misi itu berjaya dengan Murciélago dipandu sejauh 305.048 km dalam tempoh sejam dengan kelajuan purata 325.98 km/j pada pusingan terpantas.

Menggalas tugas itu ialah pemandu ujian, Giorgio Sanna yang hari ini merupakan Ketua Lamborghini Squadra Corse.

Sebanyak 4,099 unit Lamborghini Murciélago dikeluarkan dari 2001 hingga 2011 dan tempoh biasa bagi kereta sebegini. Model ikonik itu kemudiannya digantikan oleh Aventador.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Lamborghini Murciélago