"Replacement Car Buyers" atau pembeli yang menggantikan kenderaan sediada adalah kelompok pembeli yang terbesar di dalam pasaran automotif tempatan.
Ia lebih besar dari "First Time Buyers", pembeli yang pertama kali membeli kenderaan dan "Additional Car Buyers", kelompok yang mahu menambah bilangan kenderaan.
Isu ini ialah sesuatu yang sepatutnya dilihat dari awal lagi oleh agensi yang berkaitan tetapi samada diabaikan atau seperti biasa, tidak begitu penting.
Tidak penting kerana Keluaran Dalam Negeri Kasar atau KDNK (Gross Domestic Product" atau GDP) negara dari sektor itu hanyalah sebanyak empat peratus bagi tahun 2023.
Namu begitu, ia adalah industri yang membabitkan jumlah pekerjaan dan juga vendor-vendor yang tinggi akibat rantaian bekalan yang besar.
Antara faktor yang pernah disuarakan kepada saya dan dari pemerhatian saya sendiri ialah:
1. Persaingan sengit antara syarikat kenderaan
- Persaingan sengit antara pemain-pemain lama dengan jenama-jenama baharu dari China melihat kepada pelbagai kempen dan promosi yang menarik, seperti kempen servis percuma untuk beberapa tahun.
- Ini secara tidak langsung menyebabkan ramai memilih kenderaan baharu yang menjanjikan pengalaman permotoran yang lebih mudah dan lebih praktikal.
2. Tempoh sewabeli kenderaan 9-tahun
- Tempoh sewabeli (hire purchase) Malaysia yang membenarkan kontrak sewabeli itu berlanjutan selama sembilan tahun menjadikan bayaran muka dan ansuran bulanan yang lebih rendah.
- Ini memudahkan mereka untuk membeli kenderaan baharu, walaupun Bank Negara membenarkan pinjaman sehingga 90 peratus untuk kenderaan-kenderaan terpakai dari jenama popular di bawah usia sembilan tahun.
3. Kenderaan sekarang tidak selasak dahulu
- Syarikat kenderaan terpaksa mengambil risiko untuk menghasilkan kenderaan yang tidak lagi selasak dahulu.
- Jenama-jenama Jepun yang suatu ketika dahulu terkenal dengan kenderaan tahan selama berbelas tahun sebelum kerosakan besar kini sudah hilang taringnya.
- Kita semakin kerap mendengar kenderaan dari jenama Jepun yang mempunyai masalah transmisi hanya selepas tiga ke lima tahun.
- Ini adalah antara punca yang menakutkan ramai untuk membeli kenderaan terpakai.
4. Kos penyelenggaraan yang meningkat
- Kos penyelenggaraan kenderaan sudah meningkat dengan banyak. Ini tidak menarik kepada mereka yang membeli kenderaan terpakai dan lebih selamat untuk membeli kenderaan baharu dengan pakej servis sekali.
5. Sikap pembeli sudah berubah
- Sikap pembeli automotif yang sudah jauh berubah dari dahulu.
- Kini, pembeli berani untuk membeli dari jenama-jenama baharu yang tidak ada rekod sejarah di Malaysia.
- Harga, rekabentuk dan ciri-ciri modern memukau mata mereka dan serang balik yang lembab dari jenama-jenama lama memudahkan lagi usaha syarikat baharu.
6. Isu panggil semula atau recall
- Semakin ramai pembeli yang sudah matang dan tahu isu panggil semula dan mereka tidak ada cara mudah untuk mengetahui samada kenderaan terpakai itu ada panggil semula atau tidak.
7. Kerajaan gagal menjaga hak pengguna
- Sikap sambil lewa kerajaan yang masih tidak menganggap hak pembeli automotif perlu dijaga menjadikan pembeli was-was untuk membeli kenderaan terpakai.
- Isu-isu penipuan oleh segelintir penjual kenderaan terpakai, status "bebas kemalangan" kenderaan terpakai, penipuan jarak perbatuan adalah antara isu lapuk yang dipandang sepi oleh semua agensi kerajaan.
Mungkin sudah sampai masanya pihak kerajaan bersedia dengan penyelesaian kerana lambakan kenderaan lama akan mengundang satu lagi set permasalahan yang lain.
Jika semua masih merasakan ini ialah satu isu yang "politically not sexy" atau tidak penting dari optik politik masing-masing, maka Malaysia akan kekal seperti dahulu kala dan jiran-tetangga kita akan terus memintas kita di dalam sektor ini.
Mungkin adalah satu kesilapan kita mempunyai dua syarikat automotif nasional kerana nampaknya kita tidak mempunyai pemimpin yang bersedia memajukan apa yang sudah ada ke tahap yang lebih tinggi.
وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ