Michelin berasal dari Perancis dan ia memulakan perniagaannya dalam tahun 1889, iaitu 131 tahun yang lalu.
Bibendum mula digunakan oleh Michelin dalam tahun 1894 dan ia dikenali sebagai salah satu maskot perniagaan yang tertua di dunia.
Ceritanya bermula bila dua pengasas Michelin, Edouard Michelin dan Andre Michelin ternampak beberapa tayar yang disusun bertingkat-tingkat semasa satu pertunjukan expo di Lyon dalam tahun 1894.
Edouard berkata bentuknya seperti seorang manusia tanpa lengan.
Empat tahun selepas itu, Andre berjumpa dengan seorang kartunis, Marius Rossillon. Marius menunjukan satu poster iklan untuk sebuah syarikat arak dari Jerman. Poster yang menggambarkan seorang lelaki yang besar dan memegang satu kole bir itu tidak diterima oleh pelanggannya.
Melihat poster itu, Andre mencadangkan gambaran lelaki besar itu ditukar kepada seorang manusia dengan badan tayar bertingkat-tingkat dan terhasil maskot Michelin sehingga kini, Bibendum.
Nama Bibendum tidak dipastikan asal usulnya tetapi pada waktu itu, tayar-tayar kenderaan masih berwarna putih.
Hanya pada tahun 1912 ke atas baharulah tayar-tayar kenderaan berwarna hitam kerana karbon telah dicampurkan pada adunan getah tayar untuk menjadikan ia tahan lebih lama dan lebih lasak.
Bibendum sebenarnya turut bertukar wajah dan menjadi hitam, tetapi ia cepat-cepat ditukar kepada putih kembali atas alasan masalah percetakan dan bentuknya tidak lagi menarik (alasan perkauman tidak wujud pada masa itu).
Sehingga kini, Bibendum sangat popular. Untuk kawasan Asean, patung Bibendum dilihat banyak diikat kepada bas-bas atau lori-lori sebagai perhiasan.
Siapa sangka Bibendum ini mampu bertahan sehingga sekarang ya?