Kenapa X50 perlu jadi mahal

oleh HEZERI SAMSURI|
Pelancaran model X50 oleh Geely dan Proton membuatkan ada yang berang.

“Mahal sangat! Patut harga maksimum bawah RM80,000!,” ujar seorang netizen.

Seorang lagi berkata, harga varian Flagship itu sudah terlalu premium untuk rakyat marhaen dan ada juga yang berkata ini adalah disebabkan cukai-cukai yang tinggi.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Hmmm... Menarik kerana apa yang saya lihat ialah rata-rata rakyat Malaysia melihat Proton itu sebagai sebuah jenama yang letaknya di bawah jenama-jenama lazim Jepun.

Ini bermakna Proton perlu meletakan harga produknya setanding dengan Perodua dan jenama-jenama “entry level” yang lain.

Pada pendapat saya, di sinilah punca utama jenama yang suatu ketika milik negara Malaysia itu  tidak boleh membangun.

Jika dilihat dari sejarah awal penubuhan Proton, ia menggunakan model-model Mitsubishi yang menjadi pesaing bagi produk-produk Jepun seperti Toyota, Honda, Nissan dan Mazda.

Itu yang sepatutnya kekal sehingga sekarang dan Proton perlu dibangkitkan dari tidur. Lihat sahaja zaman kejatuhan Proton dahulu di mana ia masih mendabik dada walaupun jualan menjunam teruk. Ramai juga kakitangan yang tidak risau langsung kerana pasti pihak kerajaan akan datang membantu kerana itu adalah “hak” mereka sebagai sebuah jenama nasional. Siap beli kereta-kereta mewah baharu lagi!

 

 

Pemilihan produk China memang sepadan sebenarnya kerana saya sendiri sudah melihat dan merasai produk-produk mereka di negara tersebut - moden, berkualiti dan harganya berdaya saing. 

Paling penting, ia mampu memberikan sedikit kelebihan dari segi harga kerana produk China boleh diletakkan murah sedikit dari produk Jepun - seperti apa yang dilakukan oleh Korea sebelum ini sehingga harga-harga Kia dan Hyundai sudah setaraf dengan jenama dari Jepun.

Jika pengguna Malaysia masih mahu harga produk Proton diletakkan serendah Perodua, maka itu akan hanya menjadikan Proton sebuah jenama entry level seperti Daihatsu. Perlu ingat, Daihatsu tidak akan boleh mencabar Toyota, kerana kedudukan produk mereka memang terletak di bawah taukenya.

Proton, sekiranya ia mahu bangkit dan berdaya saing, ia perlukan produk-produk yang berkualiti dan dengan harga yang kompetitif berbanding dengan Toyota, Honda, Nissan dan Mazda dan bukan dengan jenama-jenama yang berada di bawah paras itu.

 

 

Proton juga perlu berusaha lebih kuat untuk menarik perhatian konsumer dari golongan M40 dan T20 untuk mempunyai jenama yang lebih kukuh agar mampu untuk bersaing di luar negara.

Ini bukan satu kerja mudah tetapi setelah gagal membuktikan ia boleh bergerak ke hadapan tanpa bantuan Jepun atau orang luar, Proton kini perlu membuktikan bahawa kepimpinan oleh warga-warga Republic of China ialah apa yang mereka perlukan untuk menjadi berdaya saing.

Mereka sudah tidak ada pilihan. Cuma harapnya perangai lama di mana “apabila sudah bangkit, mereka mula menyombong” itu sudah boleh dihumban ke laut dalam. 

Cuba lihat orang lain, diam-diam berisi. 

Saya pun tidak pasti siapa yang memulakan strategi Proton untuk bersaing dengan Perodua kerana ia adalah satu tindakan yang kurang bijak. Suka atau tidak, Perodua, sejak dari ia ditubuhkan, tidak pernah berubah dari sasaran objektifnya - iaitu memberikan produk-produk lasak, berkualiti dan menjimatkan dengan harga mampu milik.

Jadi saya harap dengan kehadiran tauke baharu, Proton boleh berubah sikap, baik dari segi pekerjanya dan juga objektifnya. Kepada yang tak bersetuju, cuma fikirkan fakta ini.

Mercedes-Benz menjual sebanyak 2.34 juta unit dalam tahun 2019. Toyota pula menjual sebanyak 10.74 juta unit dalam tahun yang sama.

Adakah ia bermakna Toyota lebih mewah dan lebih baik dari Mercedes-Benz? 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh CEO Proton, Dr. Li Chunrong dalam satu majlis sambutan…
Berita Global
Beliau mendedahkan bahawa Geely Auto akan menggabungkan platform Cell-to-body (CTB) generasi baharu…
Berita Global
Kini, Geely baru sahaja melancarkan EV pertama di bawah jenama mereka sendiri iaitu Geely Galaxy E8…